ALOR SETAR - Kerajaan negeri didesak tidak meluluskan sebarang penerokaan mineral unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik kerana dibimbangi memberi kesan kepada sumber air bersih penduduk sekitar.
Pengerusi Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Mohd Sobri Ramlee berkata, ini kerana kerja penerokaan mineral terbabit yang dilakukan secara haram sebelum ini telah mencemar kualiti air masyarakat.
Menurutnya, kerajaan negeri wajar mempertimbangkan untuk tidak meneruskan projek berkenaan bagi kelangsungan hidup penduduk sekitar.
"Penduduk masih bergantung kepada sumber air bersih dari Hutan Simpan Bukit Enggang sebagai punca sumber air utama kerana Syarikat Air Darul Aman (SADA) tidak dapat menyalurkan air bersih disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat diatasi sehingga kini.
"Kita bimbang sebarang kerja yang dijalankan di Hutan Simpan Bukit Enggang memberi kesan secara langsung kepada sumber air bersih penduduk,” katanya di sini pada Selasa.
Mohd Sobri berkata, kerajaan negeri seharusnya tegas memelihara khazanah alam di Hutan Simpan Bukit Enggang dan sebarang pindaan berkaitan Enakmen Perhutanan Negeri Kedah untuk nyahwarta perlu dibuat dalam penyertaan awam.
"Adakah kerajaan negeri masih berhasrat meneruskan penerokaan REE berikutan ia tidak termasuk sebagai hasil hutan di bawah Seksyen 2 Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara.
"Jadi kami harap kerajaan negeri tidak meluluskan sebarang penerokaan REE pada masa hadapan demi kelangsungan penduduk yang bergantung kepada sumber air dari Hutan Simpan Bukit Enggang," ujarnya.
Menurutnya lagi, sebarang usaha yang dijalankan adalah bertentangan dengan Akta Perhutanan 1984 (Akta 313), selepas lesen eksplorasi REE diumumkan pada Disember 2020.
"Ia juga memberi ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti haram yang menyebabkan kerugian berjuta ringgit terhadap negeri ini.
"Memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) bersama syarikat swasta memberi ruang kepada pihak lain menjalankan aktiviti haram di Hutan Simpan Bukit Enggang,” jelasnya.
Mohd Sobri berkata, penduduk sekitar juga tertanya-tanya apakah tindakan kerajaan negeri selepas berlaku kecurian kali kedua.
"Kecurian REE pada 31 Oktober 2022 menyaksikan seorang penceroboh dikenakan kompaun RM630,000 kerana melakukan perlombongan haram.
"Pada 6 Februari sekali lagi berlaku kecurian dengan tangkapan 52 orang oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) selepas melakukan penerokaan REE secara haram. Adakah perkara ini akan terus berulang?” soalnya.
Tambah Mohd Sobri, laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) tidak wajar dijalankan susulan ia telah melanggar akta sedia ada, berdasarkan Akta Perhutanan 1984 (akta 313).
"Lihat kembali gesaan yang diputuskan Majlis Tanah Negara (MTN) semasa Mesyuarat MTN ke-70 (2014) supaya semua kerajaan negeri mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan kelulusan kegiatan perlombongan dan kuari dalam Hutan Simpan Kekal,” katanya lagi.
Pada Ahad, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, tiada aktiviti perlombongan dilakukan sehingga kini kecuali yang diteroka secara haram oleh pihak tertentu yang sudah pun dikenakan tindakan.
Menurutnya, penerokaan REE di Hutan Simpan Bukit Enggang masih di peringkat penyediaan Laporan EIA oleh syarikat Prospek Suria Sdn Bhd yang diberikan lesen eksplorasi untuk mengkaji hasil mineral tersebut, sebelum cari gali dibenarkan.