Sisa racun perosak dikesan pada strawberi Jepun

Iklan
Gambar hiasan. - Foto 123RF

TAIPEI - Lima penghantaran strawberi segar dari Jepun dirampas di sempadan Taiwan baru-baru ini, selepas didapati mengandungi sisa racun perosak terlarang, menurut Pentadbiran Makanan dan Ubatan Taiwan (FDA) pada Selasa.

Sebanyak 964.66 kilogram strawberi yang dibekalkan oleh firma Jepun Toyomarusyouzi Co telah dirampas selepas ujian sampel pada 9 Mac mengesan kehadiran cyantraniliprole, lapor CNA.

Iklan
Iklan

Taiwan hanya membenarkan kehadiran cyantraniliprole dengan kuantiti yang dibenarkan pada tembikai, sayur-sayuran, daun teh, epal dan pear tetapi bukan strawberi, menurut FDA.

Strawberi yang diimport oleh Yong Chuan Fruit Co yang berpangkalan di Taipei sama ada akan dikembalikan ke negara asal atau dimusnahkan.

Iklan

Chen Ching-yu Ketua Pusat Pentadbiran Serantau Utara FDA, berkata, pemeriksaan terhadap strawberi yang diimport dari Jepun akan berterusan sehingga Mei kerana sisa racun perosak telah berulang kali dikesan dalam buah terbabit.

FDA juga menerbitkan senarai 12 barangan import lain yang gagal dalam pemeriksaan keselamatan baru-baru ini, termasuk cendawan lion’s mane dari China, serbuk cayenne dari Thailand, anggur segar dari Korea Selatan dan ubi keledek kering dari Vietnam. - Bernama-CNA

Iklan