UKKM muncul universiti khas keusahawanan dan koperasi terawal ASEAN

Iklan
Ewon (barisan dua dari depan, lima dari kiri) dan Mohd Ali (barudan dua dari depan, lima dari kanan) bergambar bersama anak-anak yatim dan peserta Bicara Ilmu Ramadan pada Selasa.

PETALING JAYA - Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) kendalian Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yang dijadualkan beroperasi Julai ini bakal muncul sebagai antara universiti khas keusahawanan dan koperasi terawal di ASEAN.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, penubuhan universiti itu pastinya akan menarik minat para pelajar di rantau Asia terutama dari negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei dan Filipina untuk mendapatkan pendidikan di universiti tersebut.

Iklan
Iklan

Katanya, IKMa juga telah mengambil tindakan proaktif mewujudkan jalinan kerjasama strategik dengan universiti pengurusan koperasi di Indonesia iaitu Universiti IKOPIN pada 15 Februari lalu.

"Antara skop jalinan stategik yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak ialah pertukaran kepakaran dalam pembangunan dan pendidikan koperasi, program mobiliti pelajar iaitu pertukaran pelajar dalam bidang koperasi antara IKMa, UKKM dan IKOPIN serta melaksanakan kerjasama dalam latihan dan penyelidikan bidang koperasi.

Iklan

"Signifikannya, UKKM menyasarkan IKOPIN menghantar pelajar ke UKKM menjelang 2024 setelah semua fasiliti atau infrastruktur universiti ini lengkap sepenuhnya.

"Terkini saya difahamkan, IKMa turut melaksanakan inisiatif awal mengadakan kerjasama dengan Universiti Riau Indonesia. Kedua-dua pihak telah pun menandatangani surat niat dan akan memeterai perjanjian pada September atau Oktober 2023,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Bicara Ilmu Ramadan: Melabur Tanpa Waswas dan Majlis Berbuka Puasa anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di IKMa di sini, pada Selasa.

Anak-anak yatim menerima sumbangan yang disampaikan Ewon pada program Bicara Ilmu Ramadan: Melabur Tanpa Waswas dan Majlis Berbuka Puasa IKMa pada Selasa

Pada majlis yang turut dihadiri Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor itu, Ewon juga menyampaikan sumbangan khidmat masyarakat ‘IKMa Prihatin’ kepada 30 anak-anak yatim Rumah Sentuhan Budi Petaling Jaya serta anak-anak IKMa yang layak.

Mengulas lanjut, Ewon memberitahu, UKKM mendapat kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan akan menawarkan lima program pengajian peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana.

"Program-program pengajian itu ialah Diploma Keusahawanan Koperasi, Diploma Pengurusan Koperasi, Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Koperasi) (Kepujian), Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Keusahawanan Koperasi) (Kepujian) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Koperasi).

"UKKM akan memulakan operasinya dengan menjalankan program ijazah sarjana Julai ini diikuti oleh program diploma dan ijazah sarjana muda pada September,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan gerakan koperasi terlibat dalam pembangunan UKKM melalui pemegangan saham UKKM bagi memastikan program-program yang dilaksanakan memenuhi hasrat dan keperluan semasa pasaran tenaga kerja seterusnya menghasilkan piawaian pendidikan bercirikan keusahawanan koperasi di Malaysia.

"Saya juga ingin menyeru semua koperasi terutamanya koperasi-koperasi besar dan premier untuk memberi sokongan kepada UKKM, dengan menghantar kakitangan mereka menyambung pengajian di UKKM dan membiayai pengajian kakitangan tersebut.

"Memandangkan universiti ini berkonsepkan universiti butik (yang mana ia membawa 'niche' koperasi), saya pasti pengambilan pelajar agak terhad (eksklusif). Oleh itu, suka saya menyarankan untuk memberi keutamaan kepada anak-anak anggota koperasi, kakitangan dan anggota koperasi itu sendiri,” syornya.