BALIK PULAU - Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng hadir ke program ramah mesra dan majlis berbuka puasa bersama UMNO Balik Pulau pada Selasa.
Dalam satu hantaran di Facebooknya, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, beliau hadir bersama isteri, Betty Chew Gek Cheng dan beberapa pemimpin DAP Pulau Pinang antaranya Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
Guan Eng berkata lagi, beliau berterima kasih kepada Ketua Bahagian UMNO Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Shah yang menerima kunjungan itu selain memberi layanan yang istimewa.
"Saya bersama Betty dan beberapa pemimpin DAP Pulau Pinang telah hadir program ramah mesra bersama UMNO Bahagian Balik Pulau.
"Terima kasih kepada Datuk Shah Headan Ayoob Shah selaku Ketua Bahagian dan seluruh keluarga UMNO Balik Pulau yang menerima kunjungan kami dengan layanan yang sangat istimewa," katanya.
Tambah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu, program tersebut dimulai dengan agihan bubur kanji kepada penduduk-penduduk tempatan di bazar di tepi Balai Polis Sungai Pinang.
"Selepas mengagih bubur kanji, kami berkonvoi bersama-sama ke Warung Opah Is untuk berbuka puasa bersama.
Selain Rayer, program tersebut turut dihadiri Naib Ketua UMNO Balik Pulau, Afzal Nasir, Ketua Pemuda UMN Balik Pulau, Muhammad Zaki Shah, Ketua Wanita UMNO Balik Pulau, Aishah dan pemilik warung, Said Mohammad.