SHAH ALAM - Program World #QuranHour yang tidak dapat diadakan secara besar-besaran akibat penularan Covid-19 sejak tiga tahun lalu dijangka kembali gemilang dan mendapat sambutan luar biasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, ini kerana program yang bermula sejak 2015 itu dilihat sebagai jenama terkenal untuk mempromosikan budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam.
Katanya, ketika pandemik melanda seluruh negara beberapa tahun lalu, program tersebut hanya diadakan secara dalam talian dan lokasi perdana di studio.
"Kita hanya boleh sediakan studio untuk lokasi perdana disebabkan kekangan wabak Covid-19. Di negeri-negeri pula hanya diadakan secara atas talian dan tidak bersemuka seperti tahun-tahun sebelumnya.
"Namun pada tahun ini, semua lapisan masyarakat dapat duduk bersama dalam satu program untuk membaca dan menghayati al-Quran sempena program World #QuranHour,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, menurut Marhaini, program tersebut mendapat jumlah peserta tertinggi pada tahun 2019 apabila merekodkan sebanyak 1.46 bilion peserta.
"Saya percaya pada tahun ini kita akan dapat mencapai sasaran iaitu sebanyak 1.6 bilion tanda pagar (hashtag) QuranHour dari seluruh dunia berdasarkan pencapaian World #QuranHour pada empat tahun lepas.
Sementara itu, persiapan bagi menjayakan program tersebut giat dijalankan di seluruh negara.
Di MELAKA, Jawatankuasa Rumah Ngaji Negeri Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) membuat persiapan rapi menjelang program World #QuranHour, Khamis ini.
Penyelaras Rumah Ngaji Melaka, Nur Atikah Amir berkata, program yang disertai seramai 2,000 orang termasuk pelajar, kakitangan kerajaan pelbagai agensi dan orang awam itu akan diadakan serentak di beberapa perpustakaan negeri ini.
Menurutnya, penglibatan pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) bukan pertama kali, malah setiap tahun sekali gus memberi peluang kakitangan serta penduduk di kawasan sekitar untuk bersama menjayakan World #QuranHour yang mana tahun ini Surah Al-Insan menjadi surah pilihan.
"Tahun ini program besar World #QuranHour akan diadakan di Masjid Al-Azim dan seperti tahun lalu, Yang di-Pertua, Tun Mohd Ali Mohd Rustam akan bersama menjayakan program ini.
"Saya percaya dengan penghayatan al-Quran akan memberi impak dalam hidup kita dan memberi kesan sangat baik dalam kehidupan,” katanya.
Di JOHOR, Masjid Al-Syifa Bandar Penawar, Kota Tinggi dipilih sebagai lokasi utama penganjuran yang dijadual berlangsung Khamis ini.
Timbalan Pengerusi, Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji negeri, Roziah Kamal berkata, daerah Kota Tinggi dipilih sebagai tuan rumah bagi memberikan kelainan kerana dianjurkan di luar Johor Bahru.
"Pada program kali ini, dianggarkan 800 peserta akan mengambil bahagian terdiri daripada orang ramai, pelajar dan guru-guru ngaji. Pada tahun lepas, program yang sama dibuat di Kluang, tetapi kali ini Kota Tinggi menjadi pilihan.
"Sebanyak enam bas akan digunakan bagi membawa peserta dari Johor Bahru, Pasir Gudang, Batu Pahat dan beberapa gugusan Felda di Kota Tinggi untuk Bandar Penawar,” katanya.
Di PAHANG, Pengerusi Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Md Abdu Sahak berkata, program berkenaan akan disertai kira-kira 200 penuntut dan kakitangan universiti itu di Masjid Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang.
Menurutnya, program tersebut akan diketuai pentaddabur, Mohd Faizan Tajuid.
"Sebelum acara kemuncaknya bermula jam 12 tengah hari dengan bacaan surah al-Insan ayat 1-31, kira akan mengadakan majlis khatam al-Quran secara beramai-ramai,” ujarnya.
Di PULAU PINANG, seramai 300 hingga 400 peserta dijangka menyertai sambutan World #QuranHour peringkat Pulau Pinang yang akan diadakan di Masjid Jamiul Sharif Pokok Machang, Tasek Gelugor pada 13 April ini.
Penyelaras Rumah Ngaji Pulau Pinang, Zaiton@Zariyah Abdullah berkata, sebanyak 53 Rumah Ngaji di negeri ini akan menjayakan Kempen World #QuranHour pada kali ini.
"Tadabbur Surah Al-Insan akan dipimpin oleh Mudir Madrasah Al-Quran Wal Arabiyyah, Ustaz Ahmad Fahmi Abu Bakar manakala bacaan al-Quran secara beramai-ramai akan dipimpin oleh pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun, Ustaz Abu Bakar Ahmad.
"Program akan dirasmikan Ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang juga Presiden Universiti Antarabangsa Albukhary, Profesor Emeritus Datuk Abdul Aziz Tajuddin. Kita juga akan mengadakan majlis tahlil ringkas oleh Ustaz Mohd Zubir Din,” jelas beliau.
Di PERLIS, Kolej Komuniti Arau dekat sini tidak ketinggalan untuk menyertai World #QuranHour yang diadakan secara serentak di seluruh dunia pada 13 April ini bersamaan 22 Ramadan 1444H.
Penolong Pustakawan Perpustakaan Kolej Komuniti Arau, Mohd Azman Ali berkata, seramai 50 peserta terdiri daripada kolej komuniti tersebut akan bersama membaca dan menghayati makna di sebalik ayat-ayat Surah Al-Insan.
"Pada hari sama pelbagai program turut diadakan untuk menyemarakkan aktiviti tersebut antaranya pertandingan tulisan khat di kalangan pelajar dan kacau bubur lambuk oleh kelab kakitangan kolej berkenaan,” ujar beliau.