Ubat rindu berbuka bersama keluarga

Iklan
Program Iftar ala Madinah memberi peluang untuk merapatkan ukhuwah antara pengunjung sementara menantikan waktu berbuka.

SHAH ALAM - Kebanyakan mahasiswa yang hadir ke Program Iftar ala Madinah @Karangkraf menyifatkan acara berkenaan sebagai tempat melepaskan rindu untuk berbuka bersama keluarga di kampung halaman.

Mahasiswi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Maisarah Hani Saleh, 22, berkata, sudah dua tahun dia tidak dapat pulang menyambut Ramadan dan beraya bersama keluarga disebabkan wabak Covid-19 melanda negara.

Iklan
Iklan

"Sebaik sahaja rakan-rakan fakulti memaklumkan tentang Karangkraf mengadakan Iftar ala Madinah yang mempunyai suasana berbuka seperti di kampung, saya begitu teruja untuk menyertainya.

"Saya mahu merasai sendiri pengalaman berbuka beramai-ramai, walaupun bukan bersama keluarga tersayang tetapi sedikit sebanyak ia mampu mengubat kerinduan terhadap mereka,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Karangkraf di sini.

Iklan
Kelab Pesara Muslimah Selangor turut hadir memeriahkan majlis berbuka puasa pada Jumaat lalu.

Tambah mahasiswi jurusan Ijazah Sarjana Muda Kimia (Analisis Forensik) itu, harga makanan yang dijual di bazar Ramadan semakin mahal dan ada kalanya mereka terpaksa berbelanja sehingga RM25 semata-mata untuk membeli juadah berbuka.

Sementara itu, pelajar Ijazah Mikrobiologi Gunaan, Munirah Suhada Mahdzir, 23, berkata, suasana berbuka bersama keluarga sememangnya dirindukan kerana dia belum lagi berpeluang untuk pulang ke kampung.

Iklan

Ujarnya, memandangkan jadual pengajian begitu padat, dia terpaksa mengetepikan keinginan untuk bersahur dan berbuka bersama ibu bapa dan adik beradik.

Iftar ala Madinah membuka dua ruang berbuka puasa iaitu di dalam dan di luar pekarangan Kompleks Karangkraf.

"Walaupun tidak dapat pulang ke kampung, saya tetap bersyukur kerana dapat merasai pengalaman berbuka puasa beramai-ramai.

Lebih-lebih lagi, program ini memiliki konsep berbuka seperti Madinah dan di kampung kerana duduk bersila di atas tikar,” jelasnya.

Seorang lagi mahasiswi UiTM Shah Alam, Fathin Kamilia Mohamad Hussin, 22, berkata, tujuan dia hadir ke majlis berbuka puasa itu adalah untuk mencipta memori terakhir bersama rakan-rakan.

Jelas Fathin Kamilia, dia mahu meluangkan lebih banyak masa bersama rakan karibnya, memandangkan hanya tinggal dua semester sahaja untuk mengumpul memori indah.

"Jika ada program yang melibatkan penyertaan orang ramai, saya dan rakan-rakan akan cuba turut serta untuk merasai pengalaman baharu,” katanya.

Pada masa sama, seorang lagi pelajar UiTM, Nurul Wani Munir, 22, berkata, dia mahu mengajak keluarganya ke program Iftar ala Madinah untuk merasai pengalaman berbuka puasa seperti berada di Tanah Suci itu.

Sementara itu, kemeriahan program berkenaan turut diserikan dengan sumbangan 1,000 bekas bubur lambuk daripada Kelab Pesara Muslimah Selangor.

Orang ramai beratur untuk mendapatkan makanan percuma yang tersedia di perkarangan Kompleks Karangkraf.

Menurut pengasasnya, Latiffah Sidek, inisiatif itu dibuat adalah untuk berkongsi rezeki dengan komuniti penduduk Shah Alam, di samping mahu memeriahkan lagi majlis berbuka puasa tersebut.

"Kita berbesar hati kerana diberikan peluang untuk bersama-sama menyebarkan kebaikan kepada orang ramai pada bulan yang mulia ini.

"Pada masa sama, saya juga mengucapkan terima kasih kepada kesemua ahli kelab kerana sudi menyumbangkan sejumlah wang untuk memeriahkan program amal ini,” katanya.