Bergaya jangan sampai merana

Iklan
Pusat beli-belah menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli baju raya. - Gambar hiasan

UMAT Islam di kebanyakan negara sudah berpuasa selama 21 hari, bermakna berbaki sembilan hari lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sudah tentu ketika ini, orang ramai mula sibuk membuat persiapan membeli kuih dan baju raya serta perhiasan bagi menyerikan lagi rumah untuk menyambut tetamu.

Iklan
Iklan

Bagi ibu bapa pula, pastinya baju raya anak-anak akan diutamakan memandangkan golongan itu antara yang paling teruja menyambut lebaran.Namun, dengan cabaran ekonomi masa kini, perbelanjaan persiapan mungkin tidak lagi sama kerana banyak komitmen yang perlu diberikan keutamaan dalam suasana yang mencabar.

Menyedari situasi itu, kerajaan membuat keputusan agar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa dua dibayar kepada penerima golongan B40 dua minggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Iklan

Jika STR fasa satu melibatkan seramai 8.7 juta dengan jumlah peruntukan RM8 bilion, jumlah itu pastinya bertambah dengan adanya permohonan baharu yang dibuka, sekali gus memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat.

Bantuan Kewangan Khas Aidilfitri kepada pesawah dan nelayan juga diberi kepada yang layak secara sekali beri sebanyak RM200 seorang manakala lebih 200,000 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), sukarelawan polis dan bomba akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri juga akan mendapat bantuan tunai RM300 buat pertama kalinya.

Iklan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia akan turut membabitkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri berjumlah RM700 yang diumumkan sebelum ini.

Jelasnya, keputusan itu dibuat kerana banyak permohonan agar pembayaran gaji diawalkan kerana tarikh 17 April ke atas terlalu suntuk untuk membuat persiapan hari raya.

Sebelum ini, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepecs), Datuk Adnan Mat mencadangkan supaya tarikh pembayaran gaji kepada penjawat awam diawalkan kepada 14 April bagi membolehkan penjawat awam membeli barangan untuk persediaan Aidilfitri yang dijangka disambut pada 22 April ini.

Berhemah dalam berbelanja

Jualan persiapan menyambut Aidilfitri di pasar raya terkemuka dan gedung tekstil merekodkan peningkatan antara 20 hingga 30 peratus setakat dua minggu pertama Ramadan kali ini ekoran adanya promosi Jualan Rahmah yang menyaksikan harga baju raya dijual lebih murah berbanding tahun lalu.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, pasar raya itu mencatatkan peningkatan jualan hingga 20 peratus bagi kesemua persiapan Syawal terutama bagi baju raya selepas kempen Jualan Rahmah dilancarkan sejak 15 Mac lalu.

Ujarnya, Jualan Rahmah itu dilakukan bagi membantu golongan B40 dan anak-anak yatim memiliki baju baharu dengan harga murah dan mampu milik.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel pula berkata, peningkatan jualan yang diperoleh Jakel pada dua minggu pertama bulan puasa ini dianggarkan sebanyak 30 peratus berbanding jualan yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lepas.

Katanya, peningkatan itu didorong Kempen Jualan Rahmah Jakel yang membolehkan pembeli menikmati penurunan harga antara 20 hingga 30 peratus. Perkembangan itu menunjukkan kuasa beli rakyat masih meningkat, apatah lagi sambutan hari raya hanya setahun sekali.

Tidak ketinggalan, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan sekitar Masjid India yang sememangnya sinonim sebagai kawasan membeli-belah di ibu negara sangat meriah, lebih-lebih lagi Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Pengunjung dari kepulauan Borneo seperti Sabah dan Sarawak juga dilihat sanggup membayar kos penerbangan, selain menginap di hotel berdekatan ibu kota semata-mata untuk mencari kelengkapan raya. Selain kerana harganya yang jauh lebih murah, jualan di Jalan TAR juga mempunyai pilihan cita rasa yang pelbagai.

Sudah tentu dengan pelbagai bantuan oleh kerajaan dan inisiatif peniaga dalam membuat Jualan Rahmah membantu rakyat membuat persiapan menyambut hari raya dengan lebih meriah dan bermakna.

Namun, dalam berbelanja perlulah berhemah, janganlah selepas hari raya, masing-masing merana semata-mata ingin bergaya di hari lebaran.

* Farah Shazwani Ali ialah wartawan Sinar Harian Nasional