SHAH ALAM - Syarikat di bawah Padiberas Nasional Berhad (Bernas) antaranya, Central Sugar Refinery (CSR), Beras Jasmine dan Beras Era berhasrat menjual produk beras dengan harga Rahmah bagi membantu orang ramai yang hadir ke program Iftar ala Madinah @Karangkraf bermula 10 April hingga 14 April.
Pengurus besar syarikat tersebut, Farhan Hafetz berkata, program selama lima hari bersama Karangkaraf akan menampilkan duta produk seperti Datuk Jalaluddin Hassan dan Marsha Milan Londoh yang akan memeriahkan majlis.
"Hari Isnin dan Selasa akan menampilkan beberapa jenama anak syarikat Bernas termasuk pemberian hadiah, sampel produk kopi dan juga teh.
Tambah beliau, dengan situasi harga barang yang semakin meningkat, program seperti ini dapat mendekatkan jenama makanan tempatan dan juga membantu orang ramai yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.
Jelasnya, menerusi program kolaborasi bersama Karangkraf, ia membantu mendekatkan jenama tempatan bersama pengguna.
"Program kolaborasi bersama Karangkraf ini mampu mendekatkan kita dengan pengguna dan juga membantu mengurangkan beban mereka sekeluarga.
"Ini juga merupakan peluang kepada kami untuk berinteraksi dengan pelanggan setia Bernas secara langsung,” jelasnya.
Dalam pada itu, menurut Farhan, program tersebut memberi kesempatan kepada jenama makanan tempatan untuk membantu ke arah kebaikan agar semangat ‘Kita Jaga Kita’ itu kekal.