MANILA - Puluhan penunjuk perasaan berhimpun di luar kem tentera di bandar Quezon pada Selasa bagi membantah latihan ketenteraan terbesar Amerika Syarikat (AS) dan Filipina.
Latihan ketenteraan tahunan digelar 'Balikatan' dalam bahasa Tagalog atau"Berganding bahu' itu disertai 18,000 tentera kedua-dua negara.
Peserta perhimpunan melaungkan slogan anti-Washington selain membakar replika bendera AS serta mendesak pentadbiran Presiden Ferdinand Marcos Jr supaya memansuhkan Perjanjian Kerjasama Pertahanan Dipertingkatkan 2014 (EDCA).
Di bawah perjanjian itu, tentera AS diberi akses ke sembilan pangkalan termasuk di lokasi terletak berhampiran Laut China Selatan yang menjadi pertikaian hangat dan satu lagi tidak jauh dari Taiwan.
EDCA membolehkan tentera AS menggunakan pangkalan terbabit secara berkala dan menyimpan bekalan serta peralatan pertahanan.
China sebelum ini memberi amaran bahawa perjanjian ketenteraan yang diperluaskan itu boleh membahayakan keamanan serantau, selain menuduh Washington bertindak atas mentaliti 'zero-sum' (meraih manfaat sebelah pihak).
Selain mendesak EDCA digugurkan, penunjuk perasaan turut mendesak Marcos Jr membatalkan Perjanjian Pasukan Pelawat (VFA).
VFA yang ditandatangani pada 1988, membenarkan dari aspek perundangan untuk ribuan pasukan tentera AS ditempatkan di Filipina bagi membantu sebarang misi kemanusiaan dan latihan ketenteraan setiap tahun.
Pada 2020, bekas Presiden Rodrigo Duterte pernah mengugut untuk memansuhkan VFA susulan ancaman berulang kali AS untuk menurunkan taraf kerjasama pertahanan dengan Filipina.
Kehadiran tentera AS di Filipina kurang disenangi penduduk tempatan, malah kes pembunuhan seorang pondan oleh anggota Marin, Prebet Kelas Pertama Joseph Scott Pemberton pada 2014 meningkatkan lagi sentimen anti-Washington di negara tersebut.
Dalam pada itu, latihan Balikatan turut menyaksikan helikopter tempur ditempatkan di hujung utara pulau utama Luzon yang terletak kira-kira 300 kilometer (km) dari Taiwan.
Malah, latihan tembakan diadakan buat pertama kalinya di Laut China Selatan yang sebelum ini didakwa dimiliki sepenuhnya oleh Beijing.
Latihan bersama AS-Filipina itu diadakan sehari selepas China menamatkan latihan ketenteraannya selama tiga hari di sekitar Taiwan yang dianggap sebagai sebahagian daripada wilayahnya.
Tindakan Beijing itu mencetuskan kurang senang AS dan sekutu Baratnya. - Agensi