SHAH ALAM - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mengadakan pemeriksaan kenderaan sukarela secara percuma kepada semua dan pemilik kereta persendirian di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Ketua Jabatan Komunikasi dan Khidmat Pelanggannya, Leong Pei Yee berkata, inisiatif tersebut merupakan tanggungjawab sosial pusat berkenaan bagi memudahkan urusan orang ramai untuk pulang ke kampung bersempena Aidilfitri.
"Menerusi pemeriksaan ini, kita akan lakukan beberapa ujian antaranya termasuk ujian pelepasan asap, suspensi, brek, gelincir sisi dan ketelusan cahaya cermin hadapan, sisi dan belakang. Kesemua hasilnya akan mempunyai satu bacaan yang terperinci.
Pei Yee menambah, inisiatif tersebut tidak hanya terbatas semasa acara di kompleks berkenaan sebaliknya ia turut dijalankan di setiap premis Puspakom.
"Pemeriksaan ini dapat meningkatkan tahap kesedaran keselamatan kenderaan serta membantu memastikan perjalanan mereka selamat ketika pulang ke kampung.
"Jangan lepaskan peluang ini kerana ia adalah percuma sehingga 20 April, kalau pada hari biasa, caj yang dikenakan bagi pemeriksaan begini adalah sebanyak RM50,” jelasnya.
Sementara itu, seorang pengunjung, Fatin Hazwani Faizul, 33, berkata, program yang dijalankan itu amat memudahkan pengurusan automotif orang ramai.
Ujar anak kelahiran Ipoh, Perak tersebut, pemeriksaan terhadap kenderaan adalah amat penting memandangkan menjelang hari lebaran, ramai individu akan menempuh perjalanan yang jauh bagi pulang ke kampung.
"Kebiasaannya, rata-rata di antara kita akan lebih memfokuskan terhadap persiapan lain bagi menyambut Aidilfitri ini berbanding hal pemeriksaan kenderaan.
"Akan tetapi, bila ada program turun padang begini, urusan kita jadi lebih mudah dan ada persiapan awal terhadapnya,” katanya.
Dalam pada itu, suri rumah, Siti Aisyah Osman, 56, menyatakan bahawa sebelum ini dia sering melakukan pemeriksaan kereta di bengkel berdekatan.
"Alhamdulillah, ini pertama kali saya datang ke program ini dan ia amat bagus kerana orang ramai jadi senang nak buat pemeriksaan sebelum balik kampung,” katanya yang menetap di Seksyen 16.