Pelaksanaan SHMMP 16 hari bermula Sabtu ini

Iklan
Salahuddin (dua dari kiri) ketika mengumumkan senarai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2023 yang akan berkuatkuasa pada 15 April sehingga 30 April 2023 di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Rabu. Turut sama ialah Timbalan Menteri Fuziah Salleh (kiri) dan Ketua Setiausaha, Datuk Azman Mohd Yusof (kanan). - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri melibatkan 30 barangan akan dilaksanakan selama 16 hari bermula Sabtu ini sehingga 30 April.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, 30 jenis barangan di bawah skim itu termasuk enam barangan daripada kategori ayam dan telur, yang telah dikawal di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam, berkuat kuasa sejak 5 Februari tahun lepas.

Iklan
Iklan

Barangan yang dikawal di bawah SHMMP 2023 itu adalah daging lembu tempatan kecuali daging Batang Pinang, daging lembu import, daging kerbau import dari India, ikan kembung, ikan selayang, ikan tongkol, ikan Demudok.

Barangan lain termasuk tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, timun, sawi hijau, halia tua import, bawang besar merah import, bawang besar kuning, bawang putih China, bawang kecil merah India, ubi kentang import, cili kering kerinting, kacang tanah, kelapa biji dan kelapa parut.

Iklan

Salahuddin berkata, kementerian tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh skim kawalan tersebut kerana tempoh 16 hari pelaksanaan adalah mencukupi.

Bagaimanapun, katanya harga barang bersubsidi seperti minyak masak, ayam, telur, tepung dan gula masih kekal selepas tamat tempoh 16 hari tersebut.

Iklan

Beliau berkata, senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan SHMMP itu ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti cuaca, ekonomi global, kadar tukaran wang asing, kadar upah dan permintaan serta penawaran.

Menurutnya, SHMMP tersebut dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat, dan harga maksimum yang telah ditetapkan di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Salahuddin turut memberi jaminan bekalan barangan yang dikawal tersebut mencukupi di pasaran setelah melakukan sesi libat urus dengan pemain industri dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

"Saya harap pengguna tidak panik dan membuat pembelian panik...rakyat tak perlu tergesa-gesa dapatkan barangan menjelang hari raya ini sebab bekalan sentiasa ada,” katanya.

Beliau berkata, pegawai penguat kuasa KPDN akan ditugaskan di lokasi strategik di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah bagi membuat pemantauan dan penguatkuasaan. - Bernama