Jenazah Koperal Mohammad Nasri akan dikebumi di Penaga

Iklan
Reezal Merican memaklumkan berita kematian anggota tentera yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika bertugas. - Foto Facebook Reezal Merican Naina Merican

KEPALA BATAS - Jenazah anggota tentera berpangkat koperal yang dilaporkan meninggal dunia ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum dekat Gerik dijangka dikebumikan di kampung halamannya di Pulau Mertajam, Penaga di sini.

Berita kematian Allahyarham Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib dikongsikan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di laman rasmi Facebooknya pada Rabu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk proses bedah siasat dan akan dibawa pulang ke Penaga.

Beliau berkata, Mohammad Nasri merupakan anak tunggal kepada Ketua Wanita UMNO Cawangan Pengkalan Sena, Pulau Pinang, Fadzilah Bakar.

Iklan

"Takziah diucapkan kepada Ketua Wanita Cawangan Pengkalan Sena, Fadzilah Bakar dan keluarga di atas pemergian anakanda tercinta.

"Ya ALLAH Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga roh arwah ditempatkan di kalangan mereka yang beriman," tulisnya.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan, seorang anggota tentera dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Bentong, Pahang dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum.

Kehilangan mangsa itu disedari selepas dia bersama lima rakan setugas sedang menjalankan operasi di kawasan penugasan sekitar jam 5 petang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mayat anggota berusia 33 tahun itu berjaya ditemui oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekitar jam 10.15 pagi pada Rabu.

"Sudah jumpa, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat. Maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian," katanya ketika dihubungi di sini.