ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mengumumkan bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM200 kepada 3,924 penerima terdiri daripada pengerusi dan setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) serta pegawai masjid di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bantuan itu akan dibayar terus ke akaun penerima pada 18 April ini yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM784,800.
"Seramai 772 pengerusi MKK, 766 setiausaha MKK dan 2,386 pegawai masjid meliputi imam, bilal dan siak akan menerima manfaat bantuan RM200 setiap seorang.
"Walaupun jumlahnya tidak besar, ia diharap sedikit sebanyak dapat membantu penerima melakukan persiapan menyambut Aidilfitri nanti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah akan diadakan di kediaman rasmi beliau di Seri Mentaloon, di sini pada 27 April.
Menurutnya, orang ramai dijemput hadir ke majlis itu yang akan bermula pada 11 pagi hingga 4 petang.
"Jemputlah datang, bawa keluarga dan sanak saudara. Kita sasarkan 50,000 pengunjung akan hadir, tapi biasanya lebih daripada itu yang datang,” katanya. - Bernama