KUALA LUMPUR - Bayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM200 kepada 318,642 orang pekebun kecil getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan dibuat mulai Jumaat ini, kata Timbalan Perdana, Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam catatan terbaharu di Facebooknya berkata, penyaluran BKKA yang diawalkan dari tarikh 17 April yang ditetapkan sebelum ini, adalah bagi membolehkan penerima membuat persediaan awal untuk menyambut Aidilfitri.
Iklan
Iklan
"BKKA yang diawalkan penyaluran ini bakal memanfaatkan seramai 318,642 orang pekebun kecil getah di seluruh negara di mana masing-masing menerima bantuan berjumlah RM200 seorang,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, bantuan itu melibatkan peruntukan berjumlah RM63.75 juta dan penerima adalah dalam kalangan penerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) Tahun 2022.
Katanya, bantuan itu akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima sepertimana yang telah didaftarkan dengan RISDA.
BKKA adalah inisiatif tambahan menerusi pembentangan Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 Mac lepas, melibatkan seramai 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM170 juta. - Bernama