Penduduk rayu baik pulih segera SK Perigi Acheh

Iklan
Penduduk merayu SK Perigi Acheh segera dibaik pulih bagi membolehkan murid dari Kampung Perigi Acheh belajar semula di sekolah berkenaan.

PASIR GUDANG - Penduduk di Kampung Perigi Acheh merayu kerajaan supaya segera memulakan proses membaik pulih Sekolah Kebangsaan (SK) Perigi Acheh yang didakwa terbengkalai sejak lebih dua tahun lalu.

Menurut seorang penduduk, Salina Saad, 39, sejak SK Perigi Acheh ditutup kerana bangunan kayu itu sudah tidak selamat, anak-anak mereka terpaksa pergi ke SK Tanjung Langsat yang terletak kira-kira 10 kilometer dari kampung berkenaan.

Iklan
Iklan

"Setiap hari saya terpaksa menghantar dua anak berusia sembilan dan 11 tahun ke SK Tanjung Langsat, jaraknya pergi dan balik kira-kira 20km," katanya ditemui pemberita selepas melakukan piket aman di pekarangan SK Perigi Acheh pada Rabu.

Bagi Zamiah Md Zam, 40, pula, laluan untuk menghantar anaknya di SK Tanjung Langsat juga berbahaya kerana tidak berturap dan berlubang.

Iklan

Tambahnya, kejadian air pasang yang melimpah sehingga ke jalan utama juga menyukarkan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah.

"Biasanya air pasang yang naik ke jalan akan surut semula dua hingga tiga jam. Ini berlaku pada tengah hari semasa kami mahu mengambil anak dari sekolah," katanya.

Iklan

Zarina Abdullah, 51, pula berkata, disebabkan keadaan itu dia pernah melihat beberapa kali ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah terjatuh dari motosikal.

"Laluan ke SK Tanjung Langsat sibuk kerana perlu melalui Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, banyak lori guna jalan yang sama. Ada penduduk tak mampu sewa van sekolah dengan bayaran RM60 sebulan untuk hantar anak ke sekolah," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Perigi Acheh, Saad Awang, 68, berkata, seramai 120 murid dari kampung berkenaan belajar di SK Tanjung Langsat.

"Saya harap Kementerian Pendidikan ambil serius, sampai bila masalah ini perlu berlarutan," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Fauzi Faizal mahu cadangan mendirikan kabin untuk dijadikan sekolah sementara disegerakan di kampung berkenaan kerana keperluan itu amat mendesak pada masa ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tebrau berkata, pihaknya akan menulis surat kepada pihak berkenaan supaya sekolah kabin dapat didirikan dan pada masa sama SK Perigi Acheh dapat dibina yang baharu.