KENINGAU - Seorang wanita ditemui lemas manakala dua anaknya hilang selepas bot yang mereka naiki karam dalam kejadian di Sungai Penawan Kampung Sinsingon, Sapulut, pada Selasa.
Dalam kejadian itu, Lerina Rody, 26, disahkan meninggal dunia selepas ditemui pada jam 3.15 petang manakala dua lagi anaknya Joffinoz Joffrinos dan Carbrineleyvonne masing-masing berusia sembilan dan tujuh tahun belum ditemui sehingga kini.
Dua lagi individu iaitu suami mangsa, Joffrinos Palandok dan anak lelaki mereka, Jilan berusia lima tahun berjaya menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Sook Faisal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.14 petang yang memaklumkan berlaku kejadian bot karam dinaiki lima sekeluarga.
Katanya, sepasukan anggota dari BBP Sook dengan bantuan BBP Keningau serta Pasukan Bomba Sukarela dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 66 kilometer.
"Semua mangsa diikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka selepas dari kebun, namun bot mereka tiba-tiba karam disebabkan arus sungai yang sangat deras ketika itu.
"Akibat kejadian itu, dua mangsa sempat menyelamatkan diri manakala tiga lagi dilaporkan hilang. Bagaimanapun, kira-kira dua jam kemudian selepas laporan dibuat, mangsa wanita ditemui oleh penduduk kampung, namun disahkan telah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Katanya lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diteruskan pada hari kedua (Rabu) dengan bantuan pelbagai pihak termasuk penduduk kampung.
"Operasi SAR dua lagi mangsa diteruskan pada jam 8.42 pagi di sepanjang sungai berkenaan dengan anggaran pencarian sejauh tiga kilometer.
"Bagaimanapun pada jam 4 petang tadi, seorang penduduk kampung, Lasimin Mantun, 38, yang terlibat dalam SAR telah terjatuh dari tebing sungai sebelum dihanyutkan arus dan sehingga kini masih hilang," katanya.
Faisal berkata, operasi mencari kesemua mangsa berkenaan terpaksa ditangguhkan pada jam 6.30 petang dan akan disambung pada Khamis.