KPDN cadang perluas MYSaveFood ke pasar malam

Iklan
Fuziah (dua dari kanan) menunjukkan poster promosi MySaveFood Ramadan ketika hadir pada program itu di Bazar Ramadan Bandar Merlimau di sini lewat petang Rabu. - Foto Bernama

JASIN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang memperluas kempen menyelamatkan pembaziran makanan MYSaveFood ke pasar malam seluruh negara selepas Aidilfitri ini.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, kempen itu telah mendapat maklum balas positif daripada persatuan peniaga yang bersedia untuk bekerjasama selain turut melibatkan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA).

Iklan
Iklan

"Jika kita lihat inisiatif MYSaveFood ini telah menunjukkan kesan positif apabila sejumlah 19.84 tan makanan dapat diselamatkan daripada pembaziran pada Ramadan ini.

"Program ini melibatkan pengumpulan lebihan juadah tidak terjual yang dilakukan selepas waktu berbuka puasa, seterusnya diasing dan ditimbang bagi tujuan rekod sebelum diagihkan kepada golongan sasar yang memerlukan,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Iklan

Terdahulu, beliau hadir pada program MYSaveFood Ramadan di Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Bandar Baru Merlimau yang turut dihadiri Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Allex Seah Shoo Shin dan Pengarah KPDN, Melaka Norena Jaafar.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), pada tahun ini dianggarkan sejumlah 75,000 tan sisa makanan dibazirkan jika tiada tindakan diambil untuk menyelamatkan makanan tersebut.

Iklan

"Data itu diperoleh daripada jangkaan sebanyak 19,228 tan sisa makanan dibuang setiap hari di seluruh negara pada Ramadan berbanding 16,720 tan sisa makanan dikumpul pada hari biasa, iaitu pertambahan 2,508 tan atau 15 peratus,” katanya.

Menurutnya, program MYSaveFood itu telah dijayakan oleh 1,227 sukarelawan di 43 lokasi Bazar Ramadan terpilih seluruh negara.

Beliau berkata, KPDN juga telah bekerjasama dengan pihak hotel terpilih seluruh Malaysia untuk menyelamatkan makanan yang tidak disentuh dengan memanjangkan jangka hayat makanan tersebut melalui proses retort.

"Sejumlah 792 pek makanan bersamaan 62 kilogram telah melalui proses retort dan diagihkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya. - Bernama