KOTA BHARU - Hampir 1,000 sehari rakyat negeri ini 'nok ko suasana' dengan memilih kawasan tepi Sungai Kelantan di Lembah Sireh di sini, sebagai lokasi untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan.
Tinjauan Sinar Harian mendapati orang ramai menyifatkan lokasi 'terbuka' memberikan suasana lebih santai dan dapat menikmati keindahan pada waktu senja berbanding berbuka puasa di kedai makan.
Perkara itu diakui sendiri oleh Mohd Aizul Shah, 34, apabila dia sanggup memandu dari Pasir Mas untuk berbuka puasa di tepi Sungai Kelantan.
"Ini merupakan kali pertama saya dan keluarga berbuka puasa di sini dan ia merupakan pengalaman yang cukup mengujakan.
"Sebelum ini saya hanya melihat suasana (berbuka puasa) di dalam gambar atau video yang tular di laman sosial. Namun hari ini dapat merasainya sendiri," katanya.
Menurut dia, suasana akan menjadi lebih meriah bermula jam 6 petang apabila orang ramai mula memenuhi kawasan tersebut untuk menunggu waktu berbuka puasa.
Ujarnya yang menghidap penyakit kanser paru-paru itu, kawasan ini berpotensi untuk dijadikan sebagai salah satu tarikan pelancong sepanjang Ramadan.
Mohd Aizul memberitahu, dia berharap kerajaan negeri dapat menyediakan beberapa kemudahan seperti tempat solat, bekalan air bersih bagi memudahkan orang ramai yang berbuka puasa.
Seorang lagi pengunjung dari Ketereh, Jamaliah Abdullah, 63, berkata, dia memilih berbuka puasa di sini kerana mahukan suasana.
"Hari ini saya tidak berniaga, dan kesempatan itu digunakan untuk membawa keluarga merasai pengalaman berbuka di tepi sungai.
"Kewujudan gerai jualan di sekitar kawasan ini juga membolehkan kami memilih pelbagai menu untuk dimakan," ujarnya.
Tambah Jamaliah, tiupan angin di tepi sungai pada waktu senja cukup menyegarkan dan memberi ketenangan sekali gus menghilangkan penat bekerja.
Sementara itu, Nur Aifa Zawani Zawawi, 20, dari Kota Bharu memberitahu dia dan rakannya terpengaruh selepas kawasan itu tular.
Ujar pembantu kedai itu, pemandangan yang cantik dan kehadiran orang ramai menambah keterujaan untuk berbuka puasa.
Sinar Harian pada 8 Mac melaporkan rakyat tidak digalakkan untuk berbuka puasa di tepi Sungai Kelantan di Lembah Sireh kerana dibimbangi mencemarkan lokasi itu dengan sampah-sarap dan sisa makanan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, walaupun terdapat cadangan supaya tidak membenarkan orang ramai berbuka puasa di situ, namun pihaknya tidak boleh berbuat demikian berikutan tanah tersebut bukan hak milik kerajaan negeri sebaliknya dimiliki sebuah syarikat persendirian.
"Jadi, hak memberi larangan atau tidak adalah di tangan pemilik tanah.
"Cuma isu yang berbangkit ketika ini ialah masalah kebersihan berdasarkan pada Ramadan sebelum ini, sebahagian pengunjung tidak menjaga kebersihan selepas selesai berbuka puasa,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim.