MEDIA sosial boleh diibaratkan sebagai satu perkara ‘wajib’ bagi setiap individu pada ketika ini. Jadi tidak pelik sekiranya ada ibu bapa membuka akaun bagi anak-anak mereka yang baru sahaja lahir.
Berdasarkan kenyataan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada 2021, sewaktu pandemik Covid-19 melanda, Malaysia merekodkan 28 juta pengguna media sosial atau 86 peratus daripada penduduk negara ini.
Statistik itu juga menunjukkan rakyat negara ini antara yang paling aktif menggunakan media sosial dan bilangan pengguna meningkat sebanyak dua juta atau tujuh peratus dalam tempoh setahun dari 2020.
Sepanjang Ramadan, Merak Jalanan lebih kerap bertugas sebelah petang dan waktu pulang kerja pula lewat malam, ada ketika sempat juga ‘menjengah’ sekejap di sosial media untuk melihat isu-isu tular yang berputar ketika itu.
Walaupun jam telah menunjukkan sekitar jam 2.30 pagi, tetapi suasana di media sosial masih lagi rancak dengan ada dalam kalangan pengguna ini menjadikan platform tersebut tempat berniaga, berkongsi tip dan ilmu selain ada bersiaran langsung bersama rakan-rakan.
Terdetik dalam hati, bilakah waktu tidur sebenar mereka, adakah tidak penat selepas berpuasa di siang hari dan bagaimana mereka pergi bekerja selepas berjaga hampir sepanjang malam.
Seperti pandangan sesetengah pihak, media sosial ini mendekatkan mereka yang jauh dan menjauhkan mereka yang dekat jika penggunaannya tidak terkawal.
Jika kebanyakan masa telah dihabiskan untuk media sosial, bagaimana dengan masa berkualiti bersama mereka terdekat seperti ibu bapa, ahli keluarga, isteri dan anak-anak.
Jangan kerana kita terlalu taasub dengan media sosial, hubungan keluarga retak, anak-anak tidak rapat, adik beradik bermasam muka dan rakan terdekat tidak bertegur sapa.