PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman tidak gentar sekiranya kes membabitkan kelab itu dengan ejen terkenal dari Korea Selatan, Myeongho Jeong dan ketua jurulatihnya, Choi Moon-sik dibawa ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham, beliau sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan tidak akan hanya berpeluk tubuh.
Malah, Norizam juga mengesahkan sudah mengarahkan peguamnya untuk membawa kes tersebut terlebih dahulu ke FIFA dan menyaman Jeong dan Moon-sik.
"Saya tak ada masalah (berdepan FIFA). Ketika ambil (alih) bola sepak Kelantan, saya adalah pemilik kelab bola sepak yang paling banyak hantar surat kepada FIFA.
"Ia untuk selesaikan tidak kurang 10 kes transfer ban iaitu pemain yang minta hutang dengan Kelantan FC. Kita dah berurusan dengan FIFA dan kita selesaikan semua masalah.
"Sebenarnya saya dah cakap dengan peguam saya untuk bawa kes ejen (Jeong) dan ketua jurulatih, Choi ke FIFA. Kita bukan bodoh untuk hanya menunggu saman tetapi kita pun ada hak untuk saman dia,” katanya dalam satu rancangan temu bual di Astro Arena pada Selasa.
Kemelut membabitkan skuad The Red Warriros (TRW) itu bermula selepas Moon-sik direhatkan ketika aksi Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) minggu lalu.
Susulan itu, Jeong yang mendakwa dirinya sebagai ejen kepada Moon-sik bertindak membuka beberapa cerita yang kurang enak didengar secara umum di laman Instagramnya.
Ia termasuklah mendakwa pengendali dari Korea Selatan itu tidak diberi kuasa penuh untuk menentukan senarai pemain selain pemain tidak dibayar gaji dua bulan.
Malah, Jeong turut mendakwa TRW tidak beroperasi seperti kelab profesional, sebaliknya terlalu banyak kelemahan termasuk soal pemakanan yang terabai, padang latihan yang daif sehingga memaksa Moon-sik membuat kerja penyelenggaraan rumput.
Pada masa sama, Jeong mendedahkan bakal menyaman Kelantan FC dan sudah melantik barisan peguam tempatan bagi mengendalikan kes berkenaan.
Pendedahan Jeong itu telah mendapat liputan meluas media Korea Selatan dan ia secara tidak langsung dilihat memburukkan imej liga bola sepak Malaysia.
Menerusi laporan Sukan Sinar pada Ahad lalu, Norizam menafikan semua dakwaan dibuat ejen berkenaan sambil menyifatkan ia hanyalah berniat untuk menjatuhkan nama baik serta reputasi Kelantan FC di mata dunia.
Dalam pada itu, Norizam berkata, beliau agak kecewa dengan sikap Moon-sik yang tidak mahu mendengar cadangan pihak lain untuk memacu TRW.
"Kita ada baca permintaan para peminat. Supaya masukkan pemain pemain tertentu. Penyokong kata, mungkin masukkan Ghaffar (Rahman), mungkin Keon (Khairul Helmi), mungkin masukkan Shamil (Nurshamil) atau pemain yang masih tidak ada peluang.
"Sebab saya nampak, kalau penyokong dah bercakap, penyokong ini bukannya bodoh, mereka pandai. Penyokong Kelantan sangat sayang dan fanatik dengan bola sepak.
"Saya membaca dan mengambil input tersebut dan sampaikannya kepada ketua jurulatih. Sebab ketua jurulatih tak sampai dua, tiga bulan bersama Kelantan FC, sedangkan saya sudah berada di Kelantan FC hampir tiga tahun.
"Jadi saya faham mana pemain yang boleh bermain dan mana pemain yang tidak boleh bermain. Saya sebagai pemilik kelab, saya sampaikan. Tetapi, kalau dia keras kepala tak boleh mendengar satu peratus cadangan, ini kelab bola siapa," katanya.