Karnival jadi pusat sehenti pelajar timba ilmu baharu

Iklan
Gambar dari kiri: Rusdi, Mohd Misbah, Asmidar Jamaiah dan Hanizah.

SHAH ALAM - Karnival Pendidikan Sinar Bestari disifatkan sebagai pusat sehenti menimba ilmu baharu kepada pelajar-pelajar sekitar negeri Selangor.

Ia berikutan pelbagai aktiviti dan pertandingan menarik menanti pengunjung dengan mengetengahkan tema ‘Memacu Pendidikan Generasi Digital’.

Iklan
Iklan

Penganjuran karnival pendidikan terbesar di negeri Selangor itu adalah kerjasama antara Kumpulan Karangkraf dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bakal diadakan di Dataran Karangkraf di sini bermula 10 hingga 12 Mei depan.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 17, Shah Alam, Mohd Misbah Ajir berkata, penganjuran karnival berkenaan sesuatu yang sangat baik kerana dapat memberi pendedahan kepada murid-murid mempelajari ilmu baharu.

Iklan

"Saya dapati ia tidak terhad kepada pertandingan sahaja tetapi pelbagai aktiviti melibatkan pendidikan, kemahiran serta kerjaya terkini ditawarkan kepada pengunjung.

"Selain itu, ibu bapa juga berpeluang membawa anak-anak mereka meneroka benda baharu pada karnival terbabit,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Iklan

Penolong Kanan Pentadbiran, SK Seksyen 19, Shah Alam, Asmidar Jamaiah Alias memberitahu, karnival besar seumpama Karnival Pendidikan Sinar Bestari dapat memberi pengalaman baharu pembelajaran di luar kelas kepada murid.

"Di peringkat sekolah, kita ada melaksanakan karnival tetapi dalam skala kecil.

"Justeru, karnival terbesar di peringkat negeri Selangor ini sudah pasti akan menawarkan pelbagai pengisian bermanfaat kepada pengunjung terutama murid-murid sekali gus membuka minda mereka mengenai dunia luar,” ujarnya.

Bagi Penolong Kanan Pentadbiran, Sekolah Menengah (SM) Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam, Rusdi Muhammad, beliau menyokong penganjuran karnival pendidikan berkenaan.

Katanya, pelajar dapat mendekati salah sebuah syarikat media dan percetakan terbesar di negara ini.

"Mereka juga berpeluang membeli buku-buku keluaran Kumpulan Karangkraf pada harga istimewa,” jelasnya.

Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, Shah Alam, Hanizah Hamzah berkata, kepelbagaian aktiviti dan pertandingan bakal menarik minat pelajar-pelajar untuk bersama-sama memeriahkan karnival tersebut.

Aktiviti-aktiviti menarik termasuk jualan buku Karangkraf Mall, Sinar Rovers, menunggang kuda, hari kantin sekolah, rumah hantu, mini zoo dan jualan Mega.

Pengunjung juga boleh memperoleh pelbagai maklumat mengenai pendidikan digital, skil dan kerjaya dengan mengunjungi reruai pempamer.