Anak Malaysia pertama berentap saingan gusti Jepun

Iklan
Emman mempertahankan tali pinggang kejuaraan MCW selepas menewaskan Endboss dalam kejohanan gusti 'New Breed' di Kuala Lumpur pada 8 April lalu.

JUARA Melbourne City Wrestling (MCW) Intercommonwealth, Emman Azman bersedia mengharumkan nama Malaysia dalam penampilan sulungnya pada Kejohanan New Japan Pro Wrestling (NJPW) TAMASHII di Melbourne, Australia, Ahad ini.

Malah jelasnya, dia teruja untuk kejuaraan itu setelah melakukan persediaan rapi dengan mengikuti latihan dan perlawanan yang disediakan barisan kejurulatihan pasukannya.

Iklan
Iklan

"Jadual latihan sepanjang bulan Ramadan tidak menjejaskan persediaan sebaliknya lebih mendisiplinkan saya untuk mengharungi kejohanan ini.

"Masa berbuka di sini sekitar jam 6 petang, sementara sesi latihan bermula jam 7.30 atau 8 malam.

Iklan

"Cuma latihan di gimnasium pada sebelah tengah hari agak mencabar sedikit, namun itu sebenarnya secara tidak langsung menguatkan mental dan fizikal saya," katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Emman yang beraksi bagi kategori solo akan berdepan pengusti Australia, Jarvis, yang merupakan pertemuan kali ketiga kedua-dua pertarung tersebut.

Emman

Iklan

"Peluang beraksi dalam NJPW merupakan satu penghormatan besar kerana ia kejohanan gusti yang terbesar selepas WWE.

"Sejujurnya saya sangat teruja dan bangga apabila akan menjadi pengusti pertama Malaysia menyertai kejuaraan ini.

"InsyaALLAH saya berusaha membawa berita gembira buat Malaysia, ini kali pertama saya muncul bersama entiti wrestling Jepun, jadi saya berazam memberikan terbaik sekali gus mengharumkan nama Malaysia. Moga rakyat Malaysia sentiasa mendoakan saya," katanya yang akan menjadi rakyat Malaysia pertama bersaing di NJPW.

Sebagai rekod, NJPW ditubuhkan pada 1972 merupakan entiti sukan gusti terbesar dan popular di Jepun, selepas World Wrestling Entertainment (WWE).

Sebagai rekod, Emman muncul juara MCW Blood In The Water selepas menewaskan Jarvis dalam perlawanan di Melbourne pada 8 April lalu.

Kali pertama Emman menentang Jarvis dalam saingan MCW Ascension Tournament pada Mei tahun lalu.

Pada 18 Februari lalu, Emman mengharumkan nama negara apabila berjaya mempertahankan tali pinggang kejuaraan dalam kejohanan gusti ‘New Breed’ di Kuash Taman Tun Doktor Ismail, Kuala Lumpur.

Lebih dikenali Golden Boy, Emman menewaskan penggusti Singapura, Endboss Gregory dengan penamat berimpak tinggi KL Gold Running Elbow.

Pada 26 November 2022, Emman yang berusia 22 tahun menjuarai MCW selepas menewaskan Mick Moretti dan Adam Brooks.