KOTA BHARU - Empat bilik termasuk tiga bilik doktor untuk pemeriksaan pesakit luar di Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa di sini terbakar tengah malam Khamis.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah malam itu disedari oleh pengawal keselamatan, Abdullah Ismail, 53, ketika melakukan tugas rondaan.
Abdullah berkata, terlihat api yang menyala dari dalam bangunan klinik terbabit.
"Api marak itu menyebabkan beberapa tingkap kaca bangunan pecah.
Menurut Abdullah, rutin rondaan itu dilakukan dalam tempoh penugasannya bermula dari jam 7 malam sehingga 7 pagi."Kebakaran ini juga menyebabkan bekalan kuasa elektrik di seluruh bangunan terputus,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, PKPgB Alam Nasut Ilias berkata, seramai 15 anggota bergegas ke lokasi bersama dua jentera dan satu lori tangki untuk memadam api.
"Kebakaran sebanyak 80 peratus di empat bilik termasuk satu bilik persediaan pemandu ambulans.
"Kebakaran dapat dikawal dan padam sepenuhnya pada jam 2.18 pagi. Kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.