Mangsa kekejaman suami boleh dapatkan perlindungan khas

Iklan

SHAH ALAM - Wanita yang menjadi mangsa kekejaman suami sebenarnya berhak mendapat Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) dan boleh menghuni rumah perlindungan khas yang disediakan kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa), Wan Azliana Wan Adnan bagaimanapun berkata, tidak ramai yang tahu tentang bantuan yang disediakan itu kerana masih kurangnya kesedaran mengenainya.

Iklan
Iklan

Katanya, EPO sah untuk tujuh hari dan dalam tempoh itu, si suami dilarang menghampiri mangsa, memasuki rumah tempat mangsa tinggal sekali gus menghalang daripada terus melakukan keganasan ke atas mangsa.

"Mangsa boleh mendapatkan bantuan ini dengan menghubungi Talian Kasih di 15999 atau WhatsApp ke nombor 019-2615999 atau pergi terus ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Iklan

"Kerajaan juga perlu sediakan peruntukan secukupnya dan menambah jumlah rumah perlindungan ini agar sekurang-kurangnya ada satu rumah di setiap daerah dengan mengambil kira keperluannya ekoran peningkatan kes keganasan rumah tangga saban tahun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tajuk muka depan Sinar Harian pada Selasa melaporkan hutang menggunung dan tekanan menjadi antara penyebab individu bergelar suami hilang kewarasan sehingga sanggup melakukan perbuatan jenayah terhadap isteri termasuk membunuh.

Iklan

Keganasan terhadap isteri sukar ditangani dengan baik kerana kebanyakan kaum Hawa akan menarik balik laporan polis kerana memikirkan masa depan anak-anak dan keluarga andai suami didakwa dan dipenjara.

Wan Azliana yang juga peguam menjelaskan, sebagai langkah awal bertindak sekiranya menjadi mangsa keganasan rumah tangga, isteri dinasihatkan mendapatkan dapatkan rawatan di hospital kerajaan dan memberitahu pihak hospital mengenai kejadian yang dialami mereka.

"Mangsa akan dirawat di bilik persendirian atau Pusat Krisis Bersepadu (OSCC) dan kemudian segera buat laporan polis.

"Untuk laporan polis, sila tulis kronologi atau peristiwa yang terjadi seperti berlaku perbuatan mangsa ditendang atau dipukul.

"Kalau dipukul, dipukul mengunakan apa? Kena tulis empat kejadian, siapakah yang melakukan dan siapakah saksi, tarikh dan masa," tambahnya.

Wan Azliana memberitahu, selain EPO, mangsa juga boleh memohon Perintah Perlindungan Interim yang boleh dipohon menerusi JKM, polis dan peguam.

"Mangsa juga boleh menghubungi NGO untuk dapatkan bantuan.

"Aswa sendiri menyediakan bantuan nasihat guaman kepada yang memerlukan selain banyak menjalankan kempen kesedaran mengenai isu dan hak wanita," katanya.

Ditanya mengenai penyelesaian kepada isteri yang terus bertahan dengan suami kejam walaupun tahu mereka terseksa, Wan Azliana menegaskan, bagi menangani masalah itu, orang sekeliling mangsa perlu membantu selain golongan wanita perlu diberikan kesedaran untuk mempertahan hak dan melindungi diri mereka.

"Mereka terus bertahan dalam rumah tangga kerana tidak tahu ke mana nak pergi untuk dapatkan bantuan. Jadi untuk tingkatkan kesedaran mereka bukan terletak pada kerajaan sahaja, sebenarnya masyarakat sekitar seperti institusi masjid juga boleh mainkan peranan.

"Masjid boleh banyakkan ceramah keagamaan berkenaan keganasan rumah tangga dan tanggungjawab suami terhadap isteri. Isu keganasan rumah tangga juga perlu dimasukkan dalam silibus kursus praperkahwinan," syornya.