KUALA LUMPUR - Bukit Aman menjalankan siasatan dalaman berhubung penahanan seorang pegawai dan enam anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan salah laku itu daripada SPRM.
"Polis akan beri kerjasama penuh kepada SPRM dan kita akan dapatkan maklumat lengkap sebelum tindakan diambil mengikut perspektif jabatan.
"Kita tidak boleh ambil tindakan melulu dan perlu buktikan sama ada dakwaan terhadap anggota ini sahih atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Selayang di sini bersempena Hari Polis ke-212.
Pada 24 April, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Seri Simi Abd Ghani berkata, seorang inspektor polis bersama enam orang koperal serta lans koperal dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pekan ditahan suruhanjaya berkenaan.
Menurut Simi, kesemua mereka yang berumur 28 hingga 53 tahun ditahan di Pejabat SPRM Pahang Selasa lepas setelah dipanggil memberi keterangan kerana disyaki bersubahat menerima suapan bernilai RM6,500.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata, sebanyak 60 peratus arahan pertukaran membabitkan pegawai dan anggota Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi, dan Gengsterisme (STAGG) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) telah dilaksanakan.
"Proses penstrukturan (tiga pasukan ini) sedang dijalankan secara berperingkat dan pucuk pimpinan akan laksanakan perkara ini,” katanya.
Pada Jun 2018, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PDRM akan menstruktur semula beberapa jabatan pasukan khasnya untuk tujuan penambahbaikan. - Bernama