LUMUT - Program World #QuranHour anjuran Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh tampil dengan kelainan tersendiri apabila mendapat kerjasama daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Penggerak Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, pada asalnya program World #QuranHour tahun ini hanya melibatkan seramai 50 orang peserta namun ia bertambah kepada 150 orang termasuk anggota TLDM dari KD Sultan Idris Shah I.
Menurutnya, program diserikan dengan sumbangan kepada 50 orang terdiri daripada asnaf dan ahli Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh hasil pemberian pihak TLDM, Ahli Majlis Perbandaran Manjung dan Pernama.
"Pada tahun ini saya sangat berbesar hati dan gembira apabila TLDM sudi bersama-sama kita menjayakan program. Lebih menarik lagi mereka turut bergotong-royong memasak juadah berbuka puasa.
"Apa yang saya dapat belajar daripada program ini, apabila kita dekati al-Quran, ALLAH hantarkan kita macam-macam bantuan. Jadi peganglah al-Quran, dekati al-Quran, baca, faham dan amal isi kandungan al-Quran itu," katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, program Infaq Ramadan yang dilaksanakan pihak TLDM itu merupakan salah satu cara anggota dan pegawai mereka berinteraksi dengan masyarakat.
"Ini merupakan satu penghormatan buat kami. Ketika waktu aman ini tugas kami menyantuni masyarakat dan kita nak sentiasa berinteraksi dengan masyarakat.
"Mengambil semangat bulan Ramadan ini, kita harap persahabatan dengan masyarakat ini berterusan dan terima kasih kerana memberi semangat kepada anggota yang menjaga perairan negara ini," katanya.