Majlis simbolik serahan kepada penerima sumbangan menerusi Program Sinar Kasih, Program Inspirasiku MYHAUS, sumbangan duit raya, bencana dan komuniti pada majlis Iftar ala Madinah @Karangkraf pada Selasa.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan
SHAH ALAM - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) mengagihkan sumbangan berjumlah RM4 juta yang memanfaatkan seramai 180,000 orang di seluruh negara sepanjang Ramadan ini.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata, Program Inspirasi Qaseh Ramadan dan Raya YaPEIM itu adalah hasil daripada infak orang ramai dan sektor korporat.
"YaPEIM sentiasa peka dan prihatin dengan nasib golongan rentan serta mereka yang memerlukan di negara kita. Buktinya pelbagai aktiviti dan program telah dianjurkan.
"Ia bertujuan meringankan beban mereka yang tidak bernasib baik sama ada bantuan berbentuk tunai, sokongan keperluan perniagaan, latihan dan lain-lain bantuan yang bersesuaian telah diberikan,” katanya di majlis Iftar ala Madinah di Dataran Karangkraf pada Selasa.
Pada majlis tersebut, YaPEIM turut menyalurkan sebanyak RM8,150 duit raya kepada 163 penerima seperti anak yatim selain majlis simbolik serahan kepada penerima sumbangan menerusi Program Sinar Kasih, Program Inspirasiku MyHAUS dan sumbangan bencana serta komuniti.
Mohd Radzif ketika berucap di majlis Iftar ala Madinah yang diadakan di Dataran Karangraf.
Menurut Mohd Radzif, Program Inspirasi Qaseh Ramadan dan Raya YaPEIM merupakan program tahunan yang melibatkan kerjasama Majlis Agama Islam negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia, pihak berkuasa tempatan, masjid, surau dan komuniti setempat.
Jelasnya, program itu merangkumi agihan bantuan tunai berjumlah lebih RM2 juta yang memanfaatkan lebih 40,000 kumpulan sasar, selain agihan juadah berbuka puasa yang keseluruhannya bernilai lebih RM1.3 juta meliputi 8,400 pek berbuka di seluruh negara.
"Tidak ketinggalan YaPEIM turut menganjurkan majlis berbuka puasa di seluruh 14 negeri dengan jumlah keseluruhan kos bernilai RM616,000.
"Usaha yang dilakukan pada Ramadan kali ini adalah untuk memanfaatkan kumpulan sasar iaitu anak yatim dan keluarga miskin yang telah dikenal pasti di negara kita.
"Insya-ALLAH semoga apa yang dirancang dan diusahakan pihak YaPEIM ini dipermudahkan sekali gus mencapai objektif yang telah ditetapkan pihak pengurusan,” ujarnya.
Beliau mengharapkan agar sumbangan yang dihulurkan pihak YaPEIM itu dapat meringankan beban penerima manfaat dan memberi keceriaan menjelang Aidilfitri yang bakal tiba.