KOTA BHARU - Walaupun dalam keadaan bertongkat, seorang orang kurang upaya (OKU) fizikal tidak melepaskan peluang menyertai World #QuranHour di Madinah Ramadan di sini pada Khamis.
Che Kamal E Sahrudin, 64, berkata, tidak pernah ketinggalan untuk menyertai program tersebut sejak empat tahun lalu.
"Saya datang sendiri dengan menunggang motosikal untuk bersama-sama membaca dan bertadabbur surah al-Insan bagi meraih keberkatan Ramadan.
"Saya harap program sebegini diperbanyakkan bagi menyemarakkan lagi rasa cinta manusia terhadap kitab suci al-Quran,” katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.
Program dianjurkan dengan kerjasama rakan strategik, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Che Kamal berkata, sudah khatam al-Quran sebanyak dua kali dan tidak pernah berhenti membaca kitab itu.
"Penyertaan dalam World #QuranHour dapat membantu saya lebih memahami maksud ayat al-Quran dan memudahkan untuk mengamalkannya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah World #QuranHour Kelantan, Mohammad Amir Kholis Lukman yang juga Timbalan Pengerusi III Persatuan Rumah Ngaji Kelantan berkata, program tersebut disertai kira-kira 5,000 peserta di 32 lokasi di seluruh negeri Kelantan.
"Lokasi terlibat antaranya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan, masjid-masjid dan sekolah-sekolah.
"Program juga diadakan secara dalam talian. Kita mahu orang ramai terus membudayakan al-Quran dalam kehidupan kerana keberkatan kitab itu menyeluruh dalam semua aspek di dunia,” katanya.