PENAMPANG - [DIKEMAS KINI] Ahli keluarga mendiang Datuk Peter Mojuntin iaitu mangsa nahas tragedi Double Six menyatakan rasa tidak puas hati mereka berhubung laporan akhir tragedi itu yang dirasakan masih kurang lengkap.
Anak mendiang, Datuk Donald Peter Mojuntin berkata, sebagai ahli keluarga mereka gembira keputusan kerajaan untuk menyahklasifikasi laporan akhir nahas yang melibatkan bapanya yang ketika itu sebagai Menteri Kerajaan Tempatan Sabah.
"Tetapi selepas pendedahan tersebut, kami berasa sedikit tidak berpuas hati kerana persoalan utama pada kami adalah kenapa laporan itu yang jelas meletakkan tanggungjawab kesalahan tragedi kepada juruterbang.
"Kami sudah lihat dan baca laporan itu beberapa kali dan tidak ada sebab ia diklasifikasi Akta Rahsia Rasmi (OSA), kerana OSA ini bukan calang-calang hendak klasifikasikan sebagai rahsia negeri.
"Kalau kerajaan ingin berbuat demikian, ia sepatutnya mempunyai sebab-sebab yang begitu berat dan penting seperti kepentingan umum atau keselamatan negara tetapi bila kita baca laporan itu tiada ada perkara seperti itu berkaitan," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan laporan akhir tragedi Double Six di kediaman mendiang di Kampung Hungap di sini pada Khamis.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Penampang berkata, setiap tahun keluarga terlibat mencari ketenangan selepas nahas itu berlaku tetapi setiap tahun juga pelbagai persoalan yang timbul termasuk konspirasi dan persoalan.
"Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana telah membuka laporan ini kepada awam dan kami sangat hargainya tetapi masalah yang timbul pula ada lagi persoalan daripada mendapat ketenangan.
"Kalau kita baca laporan itu ia menunjukkan semua ini salah juruterbang atau Sabah Air secara tidak langsung.
"Bagi saya laporan itu tidak lengkap dan bagi keluarga lain saya rasa mereka juga merasai perkara yang sama. Di manakah laporan forensik kapal itu, apa yang terjadi kepada kotak hitam, kenapa saksi-saksi yang dicari adalah saksi yang dapat menyatakan juruterbang itu ada sakit perut?
"Saya baru berusia 11 tahun ketika nahas itu berlaku, tetapi kami dengar saksi yang wujud menyatakan ada letupan sebelum kapal terbang itu jatuh ke laut.
"Jadi perkara-perkara ini tidak disebut dalam laporan tersebut, kami merasakan bahawa laporan itu tidak lengkap dan menjadikan ia sebagai sesuatu persoalan yang panjang," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan terus melakukan perkara yang betul termasuk mendapatkan laporan nahas itu dari Australia.
"Kita berterima kasih tetapi kita memohon kerajaan meneruskan untuk melakukan perkara yang betul. Mungkin dengan mendapatkan laporan dari Australia jadi bukan keluarga ini saja dapat mencari ketenangan tetapi juga rakyat Sabah," katanya.
Isteri mendiang, Datin Nancy Mary Mobijohn berkata, selepas 46 tahun menunggu laporan itu tetapi tiada penemuan baharu bagi mereka.
"Ia hanya cerita yang sama seperti 46 tahun yang lalu. Tiada yang baharu bagi saya," katanya.
Sebelum itu, salinan laporan akhir itu telah diserahkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick kepada Nancy.
Sementara itu, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, pihak kabinet belum ada sebarang makluman mengenai permohonan secara rasmi daripada ahli keluarga tragedi Double Six supaya siasatan nahas itu diteruskan.
Bagaimanapun beliau bersetuju jika laporan dari kerajaan Australia dapat didedahkan.