SEREMBAN - Rumah Ngaji Negeri Sembilan berharap kerajaan negeri dapat menjadikan Program World #QuranHour sebagai agenda tahunan dan dimasukkan dalam takwim.
Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, beliau yakin dengan pendekatan itu, program #QuranHour dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan menyeluruh.
"Ia berikutan masyarakat kini sudah mula berinteraksi dengan kitab suci itu menerusi kaedah baca, faham dan amal.
"Apabila ia menjadi agenda kerajaan negeri maka tidak mustahil usaha untuk membudayakan al-Quran akan semakin mengukuh sekali gus menambah penghayatan, pemahaman kepada al-Quran dan sunnah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas selesai Program World #QuranHour yang berlangsung di Pusat Islam Sheikh Haji Ahmad Said, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seremban yang menjadi lokasi utama penganjurannya di Negeri Sembilan.
Hadir sama, Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Amran Awaludin.
Sebanyak 1,000 lokasi yang menjayakan program itu dengan penglibatan kira-kira 500 penyertaan di lokasi utama.
Dalam pada itu, Gharizah turut berharap penganjuran World #QuranHour dapat memberikan inspirasi kepada ummah untuk menyerlahkan karakter Muslim berlandaskan al-Quran sekali gus memperkasakan misi #MengQurankanBangsaMengIkhlaskanUmmah.
Sementara itu, Amran berkata, pihaknya menyokong usaha itu untuk mendidik masyarakat tentang penghayatan Quran ini.
"Saya rasa ini pun sudah saban tahun diadakan, cuma perlu mendapatkan penglibatan secara menyeluruh daripada semua agensi termasuk Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) contohnya, sebab ia ada rangkaian yang lebih meluas.
"Kita harap dengan adanya pengisian seperti ini, konsep tadabbur itu menceritakan tentang penghayatan dalam Surah Al- Insan tersebut dapat memotivasikanlah peserta untuk beramal apa juga permasalahan dalam kehidupan mereka rujuklah dalam al-Quran," katanya.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Mohd Zulhilmi Mohd Yunus berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha dalam menyemarakan lagi budaya membaca al-Quran melalui Program #QuranHour.
"Penganjuran program ini mendapat kerjasama yang sangat baik terutamanya Unit Hal Ehwal Islam bersama-sama Pentadbiran Kampus, UiTM Kampus Seremban bahkan turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Wanita UiTM Cawangan Negeri Sembilan.
"Ia untuk kita memastikan al- Quran ini menjadi kerangka pemikiran dan tingkah laku umat Islam lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ini," katanya.