KUALA LUMPUR - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat menasihatkan penjawat awam untuk tidak berbelanja secara berlebihan agar dapat bertahan hingga kemasukan gaji seterusnya.
"Cuepacs merakamkan ribuan terima kasih atas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinannya untuk diawalkan pembayaran gaji dan BKKA bagi bulan April 2023.
"Gaji yang diterima itu sama pada setiap bulan sebenarnya jadi mereka (penjawat awam) telah pun meletakkan gaji itu untuk pembayaran tetap seperti bil utiliti, bayaran pinjaman dan perbelanjaan anak-anak yang bersekolah,” katanya kepada Bernama pada Khamis.
Beliau berkata, dengan langkah itu, penjawat awam boleh merancang perbelanjaan supaya bersesuaian dengan kewangan mereka, agar Aidilfitri mampu disambut dengan lebih selesa dan meriah.
Sebelum ini Cuepacs mencadangkan supaya tarikh pembayaran gaji penjawat awam diawalkan kepada 14 April ini daripada tarikh yang ditetapkan sebelum ini iaitu 17 April.
Adnan turut berharap penjawat awam dapat menjadi pengguna yang bijak berbelanja dalam memenuhi kehendak mereka.
"Berbelanjalah mengikut bentuk acuan perbelanjaan masing-masing dan janganlah dalam bentuk acuan yang mereka tidak mampu kerana mereka akan merana jika perbelanjaan tidak disusun dengan lebih awal,” katanya.
Sementara itu, seorang guru Mohd Hafiz Mohd Fami berkata, beliau gembira apabila gaji dan BKKA diawalkan kerana dapat memberi nilai tambah kepada perbelanjaan keluarga untuk menyambut Aidilfitri.
"Saya bersyukur dan gembira kerana sedikit sebanyak saya dapat membeli barangan keperluan dan membuat persiapan dengan lebih awal menjelang hari raya,” katanya pada Bernama.
Anggota keselamatan beruniform Muhammad Aiman Abd Aziz berkata, apabila jadual gaji diawalkan ia dapat memberi peluang kepada yang sudah berkeluarga untuk menyambut Aidilfitri dengan lebih meriah dan bagi yang bujang boleh digunakan kepada keluarga serta diri sendiri. - Bernama.