GOMBAK - Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Taman Selayang, Batu Caves, di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, hasil siasatan mendapati bayi tersebut telah dijaga oleh pengasuh seorang wanita berusia 47 tahun.
Iklan
Iklan
"Pada jam 11 pagi, bayi tersebut tidak sedarkan diri semasa dikejutkan daripada tidur. Pengasuh tersebut telah menghubungi ibu bayi berkenaan untuk memaklumkan kejadian tersebut.
"Bayi tersebut telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Selayang dan telah disahkan meninggal dunia pada jam 11.53 pagi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Zainal Mohamed berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang wanita berusia 27 tahun yang memaklumkan kejadian tersebut.
"Bedah siasat telah dijalankan pada 9 pagi tadi (Khamis) di Hospital Selayang, punca kematian bayi tersebut adalah masalah jantung sejak lahir. Kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor J J Winson di talian 016-2335454 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak ditalian 03-61262222," katanya.