KUALA LUMPUR - Sebanyak 13 buah motosikal dan empat skuter elektrik terbakar di kawasan parkir pusat beli-belah Suria KLCC, Jalan Ampang di sini, pada Khamis.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Iqbal Khan Malek Khan berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 3.46 petang.
"Seramai 15 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Iqbal Khan berkata, setibanya pasukan bomba dan penyelamat di lokasi kejadian mendapati sebanyak 13 motosikal dan empat buah skuter elektrik terbakar.
"Kebakaran menyebabkan sembilan motosikal dan empat skuter elektrik musnah 100 peratus, sebuah motosikal musnah 20 peratus dan tiga lagi motosikal terbakar dua peratus," katanya.
Beliau berkata, operasi pemadaman menggunakan teknik 'offensive dan defensive' untuk memadam kebakaran.
"Punca dan kerugian kebakaran masih dalam siasatan," katanya.