PERSATUAN Badminton Kuala Lumpur (KLBA) akan memanfaatkan empat sekolah yang dijadikan pusat latihan sukan itu sebagai medan mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi.
Presiden KLBA, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, empat pusat latihan berkenaan mampu menempatkan kira-kira 3,000 hingga 5,000 peserta berbanding 80 peserta di satu pusat latihan di KLBA.
Katanya, sekolah terlibat sebagai pusat latihan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepong Baru, SMK Sri Pantai, SMK Seri Bintang Selatan dan SMK Wangsa Melawati, setelah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) baru-baru ini.
"Kita akan melibatkan peserta dari 292 sekolah di seluruh Kuala Lumpur. Sekarang lebih besar dengan adanya pusat latihan ini dan kita beri peluang kepada guru di sekolah itu untuk menjadi jurulatih dan mengambil sijil kejurulatihan badminton yang diiktiraf oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM),” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kejohanan Badminton Tertutup Jejak Juara 2023 di Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan pada Khamis.
Sebagai rekod, kejohanan akan berlangsung pada 20 hingga 28 Mei ini, melibatkan acara perseorangan lelaki dan perempuan bagi kategori umur bawah 8, 10, 12, 14, 16 dan 18 tahun.
Kejohanan menurut Jahaberdeen inisiatif KLBA menerusi Projek Jejak Juara 2022 hingga 2027 yang dilancarkan Ogos tahun lalu.
"Projek Jejak Juara ini satu daripada program blue print KLBA dengan projek ini mempunyai empat elemen utama iaitu Pembangunan, Kejohanan, Biasiswa Presiden dan Akademi Badminton Antarabangsa KL.
"KLBA dengan kerjasama JPWPKL berhasrat memecahkan rekod Malaysia dengan mendaftarkan Kejohanan ini di Malaysian Book of Records sebagai pemegang rekod Pertandingan Badminton Terbesar di Malaysia sekiranya jumlah penyertaan pemain mencecah 3,500 peserta,” katanya.