KUALA LUMPUR - Seorang kaki travel membawa pulang tiket penerbangan kelas bisnes ke London selepas dinobat sebagai pemenang utama peraduan Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair).
Ooi Tai Huat, 54, menyertai peraduan itu selepas membeli pakej percutian ke Vietnam untuk dua orang bersama isteri pada pameran yang berlangsung pada 17 hingga 19 Mac lalu.
Peniaga itu menganggap hadiah tersebut sebagai rezeki terpijak dan ibarat langkah kanan buatnya yang memasang angan-angan untuk menjejakkan kaki ke negara Eropah tersebut.
"Sebelum ini saya dan isteri hanya bercuti di negara Asia seperti Vietnam, China dan Thailand.
"Kami ada merancang untuk ke Eropah pula dan tidak sangka hasrat tersebut dipermudahkan menerusi kemenangan tersebut," katanya pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang MATTA Fair Mac 2023 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis.
Tai Huat nyata teruja dan tidak sabar untuk ke negara sejuk itu bersama isteri dalam masa terdekat.
Seorang lagi pemenang, Zabahari Buyong, 55, berkata, dia tidak menyangka terpilih sebagai pemenang untuk tiket penerbangan ke Tashkent, Uzbekistan.
"Ini kemenangan tidak disangka-sangka. Borang penyertaan dihantar bersama isteri dan tidak sangka saya yang bertuah.
"Saya bukan kaki travel, jika bercuti pun hanya dalam negara. Kiranya ini kali pertama saya akan ke luar negara dan saya tidak pernah jangka akan jejak negara orang, jika ada pun hanya mahu menunaikan umrah," katanya.
Bagaimanapun, beliau yang bekerja sendiri memberitahu bersyukur dengan kemenangan itu, namun masih belum memikirkan lagi tarikh untuk menggunakan tiket tersebut.
Hadiah kemenangan disampaikan oleh Bendahari Kehormat MATTA, Nigel Wong bersama rakan penaja lain termasuk wakil daripada Malaysia Airlines, Uzbekistan Airways dan Oman Air.
Dalam pada itu, Nigel merakamkan penghargaan kepada semua rakan penaja termasuk Batik Air, Philippine Airlines, Ethopian Airlines, China Southern Airlines, Lanmei Airlines, Lotus Desaru Beach Resort & Spa dan Lexis Hotel Group yang menaja tiket penerbangan antarabangsa dan domestik serta pakej penginapan di hotel lima bintang.
Katanya, MATTA Fair yang berlangsung pada Mac lalu telah menarik seramai 180,000 pengunjung dengan jualan mencecah sehingga RM300 juta dalam tempoh tiga hari berlangsung.
"Jumlah peserta peraduan mencecah 5,097 orang dengan 29 pemenang bertuah terpilih untuk membawa pulang hadiah yang ditawarkan," katanya.