KUALA LUMPUR - Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) Bilangan 1 Tahun 2023 yang diadakan pada Khamis antara lain mendengar pembentangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenai hasil awal projek rintis Program Ekonomi Sempadan (Projek Pembekalan Petrol RON95 dan Diesel Tanpa Subsidi).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mempengerusikan mesyuarat itu pada Khamis berkata, pelbagai kesan serta impak positif diperoleh daripada projek rintis yang dilaksanakan di Perlis dan program tersebut adalah usaha KPDN untuk mengatasi ketirisan minyak petrol serta diesel terutama di kawasan berhampiran sempadan negara.
"Laporan awal menunjukkan subsidi kerajaan dapat diselamatkan kerana penjualan minyak petrol dan diesel ini tidak melibatkan peruntukan subsidi. Malahan peluang untuk meningkatkan pendapatan negara juga tinggi melalui cukai jualan yang dikenakan ke atas kenderaan asing,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, KPDN merekodkan kes penyelewengan yang rendah di Perlis sepanjang tempoh projek rintis dilaksanakan setakat ini manakala isu trafik sesak di stesen minyak di negeri itu juga telah reda dengan pelaksanaan tersebut.
Anwar berkata, KPDN akan mengeluarkan perincian pencapaian projek rintis itu sepanjang dua bulan pelaksanaannya serta dalam kajian kemungkinan untuk dipanjangkan ke negeri lain.
Perdana Menteri berkata, selain itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mempergiat Program Pembangunan Pemasaran dengan menyasarkan Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) sebanyak 2,000 lokasi pada tahun ini berbanding 1,000 lokasi tahun lepas.
"Jualan ini dijangka memberi manfaat kepada semua lapisan pengguna termasuk peniaga kerana harga yang ditawarkan adalah jauh lebih rendah kerana dibawa terus dari sumber bekalan,” katanya.
Beliau berkata, FAMA juga mengadakan Jualan Khas Ramadan Madani di 268 lokasi seluruh negara terdiri daripada pasar tani, pasar tani kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Medan Niaga Satok selain Jualan Khas Syawal Madani di 113 outlet pemasaran FAMA bermula 15 April ini yang memberi peluang kepada rakyat mendapatkan bahan bagi persediaan Aidilfitri.
Anwar berkata, pada mesyuarat itu, KPDN turut membentangkan status inisiatif Rahmah iaitu Jualan Rahmah di 16 pasar raya besar dan rangkaiannya melibatkan 118 kawasan Parlimen serta 8,223 lokasi manakala 71,400 Bakul Rahmah diedarkan oleh 10 penyumbang utama kepada penerima miskin tegar.
Beliau berkata, Menu Rahmah pula telah dilaksana di 1,706 premis makanan dan restoran selain Bazar Ramadan Rahmah yang disertai 913 peniaga di 41 lokasi.
Bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya berada pada tahap tertinggi, Perdana Menteri berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama-sama Proton dan Perodua pula telah melancarkan Pakej Rahmah bagi servis kenderaan bermotor pada harga jauh lebih murah.
"Ini merupakan usaha Kerajaan Malaysia Madani serta semua pihak terutama pemain pelbagai industri seperti peruncitan, makanan dan minuman, tekstil, perhotelan, perkilangan berasaskan makanan dan yang terkini automotif bagi membantu rakyat Malaysia Madani,” katanya.
Anwar berkata, mesyuarat itu turut mengambil maklum pembentangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kerjasama Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia bagi melaksanakan satu lagi inisiatif Rahmah dan pengumuman mengenainya akan dibuat pada satu tarikh lain.
Selain itu, beliau berkata, Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan KPDN sedang memperinci kaedah subsidi lebih bersasar dan satu kertas pembentangan akan diangkat kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada mesyuarat seterusnya.
Pada masa sama, Perdana Menteri menempelak dakwaan yang menyatakan beliau tidak lagi fokus kepada agenda menangani kos sara hidup dengan menyifatkan ia sebagai tuduhan liar semata-mata.
Anwar berkata, beliau dibantu oleh kedua-dua Timbalan Perdana Menteri melalui beberapa jawatankuasa termasuk Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan (JPP) NACCOL yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah dua kali bersidang.
"Selepas ini, beliau akan mempergiat usaha pemantauan dan pelaksanaan dasar serta strategi Kerajaan Malaysia Madani dengan mengadakan mesyuarat setiap bulan,” katanya.
Perdana Menteri juga berkata, adalah wajar semua pihak bersama-sama dengan kerajaan menggembleng usaha membantu rakyat serta mengurangkan polemik kerana kos sara hidup adalah agenda nasional dan menuntut pendekatan seluruh negara. - Bernama