Manjung City tidak gerun status Kelantan FC

Iklan
Manjung City FC akan melayan kunjungan Kelantan FC dalam Pusingan 16 Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Jumaat ini. - Foto Facebook Manjung City FC

KELAB Liga M3, Manjung City FC menyifatkan Kelantan FC mempunyai aura tersendiri walaupun baru dibimbing pengendali, Frank Bernhardt apabila kedua-dua berentap dalam Pusingan 16 Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada Jumaat ini.

Malah, pengendali Manjung City FC, Rafae Isa mengakui kredibiliti dimiliki bekas pengendali UiTM FC itu akan memberikan nilai tambah kepada The Red Warriros (TRW) biarpun baru mengendali kelab pantai timur itu.

Iklan
Iklan

Jadi Rafae menuntut setiap pemain kelab tersebut menerapkan disiplin tinggi dalam mengikuti perancangan sepanjang perlawanan berkenaan.

"Biarpun berstatus pasukan bukan pilihan di pentas Piala FA ini, saya tidak mahu pemain Manjung City FC terlalu merendah diri, sebaliknya mahu mereka percaya mampu untuk melakar kejutan.

Iklan

"Kita tahu Kelantan memang pasukan yang bagus dan melihat kepada situasi yang berlaku kepada Kelantan ketika ini mungkin akan ada sedikit kelebihan kepada kita,” katanya.

Bagaimanapun jelas Rafae daripada segi prestasi, TRW diakui memiliki kelebihan tersendiri ditambah dengan pengalaman Bernhardt.

Iklan

"Bernhardt pernah membimbing skuad Bawah 23 tahun negara, dan saya percaya mereka mesti telah merencana strategi tertentu untuk mengatasi kita.

"Tetapi kita juga ada strategi tersendiri untuk mengekang Kelantan supaya tidak mudah untuk menghadapi kita nanti,”katanya.

Dalam masa sama, Rafae mengakui sentiasa menganalisis perlawanan diharungi Kelantan di pentas Liga Super sebelum ini.

Lantaran itu, Rafae mahu barisan pemain Manjung City FC lebih berwaspada terhadap kualiti pemain import TRW.

"Saya memang ada tengok permainan Kelantan FC dan dekat situ kita nampak apa kelebihan dan kekurangan mereka.

"Tetapi keutamaannya adalah jika kita dapat mengekang asakan pemain import TRW, sudah tentu ia akan lebih seimbang dan mereka juga tidak akan mudah untuk atasi kita.

"Pemain saya sekarang dalam keadaan yang terbaik dan mereka tahu apa yang perlu dibuat sebab ada beberapa taktikal yang harus dilakukan daripada pelbagai aspek,” katanya.


JADUAL PIALA FA 2023

PUSINGAN 16

JUMAAT (14 APRIL)

JDT lwn PDRM FC

(Stadium Sultan Ibrahim, 10 malam)

Terengganu FC lwn Melaka FC

(Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 10 malam)

Kuala Lumpur City FC lwn Imigresen FC

(Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, 10 malam)

Manjung FC lwn Kelantan FC

(Stadium Majlis Perbandaran Manjung, 10 malam)

SABTU (15 APRIL)

Kuching City FC lwn Penang FC

(Stadium Negeri, 9.15 malam)

Sabah FC lwn Kelantan United

(Stadium Likas, 9.15 malam)

Negeri Sembilan lwn PIB Shah Alam

(Stadium Tuanku Abdul Rahman, 10 malam)

Selangor FC lwn Sri Pahang FC

(Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 10 malam)