'Rindu bihun enak masakan ibu'

Iklan
Daniel Iskandar (dua dari kiri) pada majlis berbuka puasa dan sumbangan zakat KPJ Perdana Specialist Kota Bharu.

KOTA BHARU - Aidilfitri yang bakal menjelang kira-kira seminggu lagi memberi peluang untuk bertemu keluarga terutama ibu bapa di kampung.

Bagaimanapun, suasana itu tidak dapat dirasai oleh penghuni Rumah Anak Yatim Al-Kautsar, Kubang Kerian, Daniel Iskandar Zamzilah,15, yang kehilangan kedua orang tuanya ketika masih kecil.

Iklan
Iklan

Daniel Iskandar menjadi yatim piatu selepas bapanya meninggal dunia ketika usianya masih bayi manakala ibu pula 'pergi' ketika usianya lima tahun.

"Sudah lima tahun saya pulang beraya di rumah ibu saudara di Kampung Pasir Tumbuh bersama adik-beradik lain," katanya.

Iklan

Anak ketiga daripada lima beradik itu juga mengakui merindui bihun goreng putih yang dimasak ibunya.

"Walaupun ketika itu saya masih kecil tetapi itulah menu paling enak yang belum pernah ditemui selepas ibu meninggal dunia.

Iklan

"Sehingga kini saya belum menemui rasa bihun seperti yang dimasak ibu," katanya.

Daniel Iskandar akan membeli pakaian baharu bersama rakan-rakan ditemani penjaga pusat pendidikan anak yatim itu beberapa hari lagi.

"Saya pun tidak sabar memilih baju baharu untuk dipakai pada hari raya nanti," katanya.

Roslan (dua dari kiri) menyampaikan zakat perniagaan kepada Ameer Azeezy.

Rakannya, Noor Farah Aina Mat juga sudah bersedia pulang ke Kampung Tanjung Chat untuk beraya bersama keluarga.

Anak kelima daripada enam beradik itu memberitahu, ibunya, Azimah Muhamad Noor akan menyediakan pelbagai jenis masakan istimewa untuk hidangan Hari Raya Aidilfitri.

"Kami sekeluarga juga berkumpul dan bertemu mata sebelum saya kembali semula ke asrama," katanya.

Noor Farah Aina juga mengakui seronok belajar di Darul Al-Kautsar dan akan mula menghafaz selepas baru sahaja khatam beberapa hari lalu.

Daniel Iskandar dan Noor Farah Aina antara 25 pelajar yang menerima wang zakat dan sumbangan daripada KPJ Perdana Specialist Kota Bharu sempena majlis berbuka puasa dan sumbangan zakat hospital pakar itu.

Sumbangan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)KPJ Healthcare Wilayah Pantai Timur, Roslan Ahmad.

Sementara itu Roslan memberitahu, pada majlis sama, hospital itu turut menyampaikan zakat perniagaan sebanyak RM100,000 kepada Majlis Agama Islam Kelantan diwakili oleh Ketua Pegawai Zakatnya, Ameer Azeezy Tuan Abdullah.