Tahun ke-12 puasa, Stanley beli baju Melayu untuk raya

Iklan
Stanley tidak lupa untuk menyediakan sepersalinan baju Melayu setiap tahun untuk dipakai pada hari raya.

IPOH - Dikelilingi teman rapat dan rakan kerja beragama Islam membuka ruang buat Stanley Nelson, 51, untuk sama merasai nikmat Ramadan dan Syawal.

Stanley yang dibesarkan dalam keluarga besar pelbagai agama dan bangsa antaranya Hindu dan Punjabi langsung tidak kekok untuk berpuasa sama seperti umat Islam lain sejak 12 tahun lalu.

Iklan
Iklan

Malah, anak ke-14 daripada 16 beradik itu juga tidak lupa untuk menyediakan sepersalinan baju Melayu setiap tahun untuk dipakai pada hari raya.

"Sejak kecil lagi saya dikelilingi kawan-kawan Melayu dan beragama Islam.

Iklan

"Apabila memasuki alam pekerjaan, situasi sama juga berlaku, sebab itu tidak ada masalah untuk saya berpuasa.

"Lebih membuatkan saya semangat kerana saya dapat bekerja dengan mereka sepanjang hari dan apabila tiba waktu berbuka, kami berkongsi rasa gembira berbuka bersama-sama," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan
Dikelilingi teman rapat dan rakan kerja beragama Islam membuka ruang buat Stanley untuk sama merasai nikmat Ramadan dan Syawal.

Stanley yang berkhidmat sebagai Jurukamera Astro Awani Perak sejak 2013 mengakui, amalan berpuasa pada awalnya datang atas rasa menghormati agama masyarakat lain.

Ketika itu dia malu untuk makan atau minum pada siang hari kerana memikirkan rakan-rakan kerja yang berpuasa terpaksa menahan diri daripada lapar dan dahaga.

"Lama-kelamaan saya terbiasa ikut berpuasa. Saya amalkan makan kurma tujuh biji dan minum segelas susu sebelum tidur untuk pastikan dapat bertahan sepanjang hari berpuasa.

"Pernah beberapa ketika, disebabkan sibuk dengan tugasan, saya hanya sempat berbuka dengan buah kurma dan sebotol air mineral di dalam kereta," katanya yang turut aktif dalam Persatuan Kebajikan Sehati Warga Perak.

Bercerita mengenai hari raya, Stanley berkata, seperti umat Islam lain, dia juga menjadikan baju Melayu, samping serta songkok sebagai keperluan wajib yang akan dibeli.

Ujarnya, selain sebagai penghargaan kerana berpuasa, baju Melayu yang dibeli boleh dipakai ketika menjalankan tugasan media terutama melibatkan program Sultan dan Istana serta di masjid.

Stanley yang dibesarkan dalam keluarga besar pelbagai agama dan bangsa antaranya Hindu dan Punjabi langsung tidak kekok menjalani ibadah puasa sama seperti umat Islam lain sejak 12 tahun lalu.

"Ramai kenalan dan keluarga menyangka saya sudah masuk Islam, sebenarnya keluarga tidak menghalang pun jika benar saya mahu mendalami Islam.

"Bagi saya aktiviti berbuka puasa dan meraikan perayaan adalah usaha yang dapat menyuburkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, agama dan kepercayaan di negara ini," katanya.