KUALA LUMPUR - Tindakan untuk menangani konflik Palestin-Israel harus dilakukan dengan pendekatan yang lebih strategik berdasarkan kepada prinsip kesatuan masyarakat global.
Pengerusi Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA), Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ashraf Hadi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu memainkan peranan melobi sokongan daripada negara kuasa besar seperti Turkiye dan China.
"Kita boleh gunakan pentas antarabangsa iaitu dengan menjadikan Malaysia sebagai pelobi yang strategik untuk mengumpulkan negara-negara lain yang bersependapat dengan kita agar suara kita didengari.
"Kalau negara Arab dan sebilangan kecil negara-negara Islam yang lain sahaja, belum cukup untuk kita beri tekanan kepada Israel, memandangkan Israel mempunyai pelobi yang besar.
"Jadi secara tidak langsung, perlu kepada langkah yang lebih strategik diperingkat antarabangsa, dengan Perdana Menteri perlu mengambil jalan tengah untuk panggil negara lain mencari sekutu dan permuafakatan untuk mengajak negara-negara sedang membangun agar menyuarakan kecaman kepada negara israel,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru terbitan Astro AWANI.
Oleh yang demikian, Ashraf mencadangkan agar kerajaan mendapatkan kerjasama daripada negara ekonomi besar dunia seperti Turkiye dan China untuk menggunakan pengaruhnya mendesak Israel menghentikan segala pencabulan kepada undang-undang antarabangsa sedia ada.
Jelas Ashraf lagi, tindakan itu juga boleh menekan negara-negara Arab menarik balik dasar normalisasi hubungan dengan Israel. Ini kerana tindakan normalisasi tersebut telah mengurangkan kebimbangan Israel terhadap kecaman yang disuarakan masyarakat dunia.
"Itulah yang kita lihat ketika ini Israel mempunyai kekalutan politik dalaman. Ruang ini yang perlu diambil oleh negara Islam dan Malaysia untuk ketuai, beri tekanan kepada Israel,” katanya lagi.
Sepanjang bulan Ramadan, beberapa siri serangan rejim zionis terhadap umat Islam di Palestin telah berlaku.
Ini telah menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia yang sedang menjalani ibadah puasa dalam bulan yang suci ini.
Dalam masa sama, Tel Aviv berdepan siri demonstrasi sejak tiga bulan lalu.
Penunjuk perasaan membantah keputusan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, merombak sistem mahkamah Israel.
Dilaporkan bilangan penunjuk perasaan mencecah 145,000 orang. - Awani