SHAH ALAM - Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) Bilangan 1 pada Khamis membincangkan beberapa inisiatif kerajaan daripada kementerian utama bagi membantu rakyat yang kini sedang berhadapan dengan masalah kos sara hidup, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, beberapa kementerian terlibat dengan perbincangan tersebut termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menurutnya, antara perkara dibincangkan adalah seperti usaha mempergiatkan Program Pembangunan Pemasaran menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan menyasarkan Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) di 2,000 lokasi pada tahun ini berbanding 1,000 semasa 2022.
"Jualan ini dijangka memberi manfaat kepada semua lapisan pengguna termasuk peniaga kerana harga yang ditawarkan adalah jauh lebih rendah kerana dibawa terus dari sumber bekalan.
"FAMA juga akan mengadakan Jualan Khas Ramadan Madani di 268 lokasi di seluruh negara seperti pasar tani, pasar tani kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Medan Niaga Satok mulai 15 April 2023.
"Selain itu, Jualan Khas Syawal Madani bakal menganjurkan di 113 outlet pemasaran FAMA, memberikan peluang kepada rakyat memperoleh bahan persiapan untuk Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Anwar menambah, kerajaan dengan kerjasama syarikat Proton dan Perodua juga telah melancarkan Pakej Rahmah bagi servis kenderaan bermotor dengan harga yang jauh lebih murah.
Jelasnya, ia merupakan satu kolaborasi dengan syarikat automotif bagi membantu rakyat Malaysia bersempena hari lebaran tersebut.
Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan yang KPKT telah bekerjasama bersama Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia bagi melaksanakan satu lagi inisiatif Rahmah.
"Pengumuman berkaitannya akan dilakukan pada satu tarikh lain kelak,” ujarnya.
Anwar turut memaklumkan mengenai status semasa empat inisiatif Rahmah daripada KPDN yang terdiri daripada Jualan Rahmah, Bakul Rahmah, Menu Rahmah dan Bazar Ramadan Rahmah.
"Bagi Bakul Rahmah, sebanyak 71,400 telah diedarkan oleh 10 penyumbang utama kepada penerima miskin tegar sementara Menu Rahmah pula mengambil penglibatan daripada 1,706 premis makan dan restoran.
"Bagi Bazar Ramadan, ia telah dianjurkan di 41 lokasi melibatkan 913 peniaga,” katanya.
Jelas beliau, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan membantu rakyat dalam isu ini kerana perkara tersebut merupakan visi utama mereka.
"Kos sara hidup adalah agenda nasional dan menuntut ‘whole nation approach’," ujarnya.