MOTAC tarik 45,000 pelancong China semasa lawatan PM

Iklan
King Sing bercakap pada temu bual bersama media ketika hadir ke Majlis Iftar Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Bersama Diplomat Asing Di Malaysia, pada Khamis. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berjaya menarik 450,000 pelancong dari China selepas menandatangani dua perjanjian semasa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu, bulan lepas.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kejayaan itu adalah hasil promosi Tourism Malaysia yang dilakukan semasa lawatan bersama Perdana Menteri ke Beijing, China pada 29 Mac lalu.

Iklan
Iklan

"Sewaktu kami membuat promosi tentang Malaysia di Beijing, ada beberapa travel agensi yang berjaya kami jumpa dan setakat ini yang sudah menandatangani perjanjian dua syarikat. Satu syarikat akan membawa 350,000 pelancong dan satu lagi akan membawa 100,000 pelancong manakala yang selebihnya masih dalam proses penyediaan dokumentasi.

"Oleh itu ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan iaitu berhubung visa dan tempat duduk kapal terbang. Kami akan adakan beberapa siri perbincangan bersama syarikat penerbangan, Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri tentang perkara tersebut,” katanya pada majlis Iftar Menteri Pelancongan Seni dan Budaya bersama diplomat asing di sini, semalam.

Iklan

Beliau berkata, perkara itu adalah antara usaha kementerian berkenaan dalam mencapai sasaran 5 juta pelancong dari negara China pada tahun ini.

Pada majlis itu, selain mempamerkan masakan Malaysia, ia turut mengetengahkan unsur seni dan budaya tempatan antaranya persembahan alat muzik tradisional gambus dan sape serta pameran kraftangan songket, batik dan ukiran kayu tempatan oleh Kraftangan Malaysia.

Iklan

King Sing berkata, dalam bulan penuh keberkatan ini, beliau amat bersyukur kerana dapat menganjurkan majlis tersebut.

"Saya berharap agar kita dapat bekerjasama dalam memperkukuh lagi kerjasama dalam memasarkan dan mempromosikan penawaran pelancongan negara kita kepada dunia terutamanya dalam persiapan Tahun Melawat Malaysia (VMY) pada 2025,” katanya. - Bernama