Projek rintis KKM kurangkan kesesakan pesakit berhasil

Iklan
Dr Zaliha - Foto Bernama

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memulakan pelaksanaan tindakan segera projek rintis dengan melanjutkan waktu operasi sehingga 9.30 malam bagi mengurangkan kesesakan pesakit di jabatan kecemasan di hospital kerajaan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, projek dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR), kementerian dan agensi kerajaan berkaitan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Malaysia Madani (MTMM) pada Khamis yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan
Iklan

"Projek rintis ini telah dilaksanakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Klinik Kesihatan Bandar Botanik (KKBB) di daerah Klang yang mana tindakan segera cadangan intervensi adalah dengan memindahkan operasi zon hijau (bukan kecemasan) Jabatan Kecemasan HTAR ke KKBB di luar waktu operasi bermula pada 25 Mac 2023 dengan KKBB melanjutkan waktu operasi sehingga 9.30 malam setiap hari.

"Sehingga 9 April 2023, purata kedatangan pesakit zon hijau ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, HTAR mencatatkan penurunan kedatangan pesakit sebanyak 54 peratus.

Iklan

"Trend penurunan ini berlaku lebih ketara pada hari Sabtu dan Ahad dan selari dengan peningkatan kedatangan pesakit ke KKBB selepas intervensi pelanjutan tempoh operasi ini dilaksanakan bermula 25 Mac 2023,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, ujar Dr Zaliha, pihaknya melaksanakan tujuh tindakan penyelesaian jangka pendek dan jangka sederhana bagi mengurangkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan.

Iklan

"Antaranya adalah pelaksanaan rintis Skim Perubatan Madani, semakan semula akta, pekeliling dan garis panduan berkaitan, pelaksanaan pengurusan Lean, peluasan perkhidmatan penjagaan kesihatan virtual, dan strategi komunikasi melalui ‘behavioral insight’ (wawasan tingkah laku) sedang berjalan dengan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan berkenaan,” ujarnya.

Selain itu, menurutnya, KKM turut memutuskan untuk memperluas skop projek rintis intervensi pemanjangan tempoh operasi ke klinik-klinik kesihatan lain.

Kata beliau, antara klinik kesihatan yang telah dipilih untuk tujuan itu membabitkan daerah Gombak, Hulu Langat, Ipoh, Johor Bharu dan Kuala Lumpur.

"KKM amat menggalakkan pesakit yang tidak mengalami sakit kritikal untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.

"Pendekatan ini dapat membantu doktor dan anggota kesihatan dalam memberikan rawatan segera kepada pesakit kritikal di jabatan kecemasan hospital kerajaan,” jelasnya.