Sindiket seludup rokok, arak tumpas

Iklan
Sindiket penyeludupan rokok dan arak seludup ditumpaskan menerusi rampasan melibatkan RM538,668 membabitkan jumlah cukai dan duti sebanyak RM2.7 juta dalam tiga serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Sindiket penyeludupan rokok dan arak seludup melibatkan rampasan RM538,668 membabitkan cukai dan duti sebanyak RM2.7 juta tumpas dalam tiga serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Operasi dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Zon Tengah Unit I itu turut berjaya membongkarkan beberapa lokasi rumah dipercayai dijadikan tempat menyorok kesemua barang terlarang tersebut.

Iklan
Iklan

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah, Wong Pun Sian berkata, serbuan pertama dijalankan antara 20 hingga 24 Mac lalu.

"Serbuan menerusi Ops Buih itu menyita sejumlah minuman keras dengan anggaran nilai RM82,356 melibatkan anggaran cukai RM359,770.

Iklan

"Operasi ini sekali gus menyasarkan rantaian aktiviti menyimpan dan menjual barang tidak berkastam iaitu minuman keras di kawasan Lembah Klang," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, serbuan berikutnya dijalankan menerusi maklumat risikan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA), pada 5 April lalu.

Iklan

"Operasi ini dijalankan dengan serbuan melibatkan sebuah rumah di Kampung Parit Mahang, Jeram, Selangor dan menahan seorang lelaki dipercayai pemilik rumah tersebut.

"Serbuan turut menemukan rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam berjumlah 381,840 batang yang dianggarkan bernilai RM30,848 membabitkan cukai dan duti yang dianggarkan berjumlah RM255,100," katanya.

Sindiket penyeludupan rokok dan arak seludup tumpas dalam serbuan berasingan.

Menurutnya, serbuan ketiga melibatkan stor penyimpanan rokok putih dan kretek pada pada 6 April di sebuah rumah di Taman Mutiara Barat, Cheras.

"Serbuan menemui 300 peti rokok putih dan kretek berbagai jenama yang disyaki tidak berkastam berjumlah 3,112,800 batang dengan anggaran nilai sebanyak RM425,464 membabitkan jumlah cukai dan duti yang terlibat dianggarkan berjumlah RM2,096,994.00.

"Pengimportan rokok memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia di bawah Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019,"katanya.

Tambah beliau, penyeludupan mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"Orang ramai digesa membantu pihak Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan," katanya.