KUALA LUMPUR - Kira-kira 100 individu yang berkumpul di hadapan Masjid Tabung Haji, di sini mula berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat dengan kawalan pihak polis, pada Jumaat.
Perarakan Himpunan Solidariti Al-Quds Sedunia itu dimulakan dengan laungan takbir bermula jam 2 petang.
Perarakan ini juga ekoran tindakan biadab tentera pendudukan haram Israel menceroboh Masjidil Aqsa dan menyerang rakyat Palestin pada 5 April lalu.
Himpunan solidariti ini disertai badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Hari Al-Quds Sedunia berlangsung pada Jumaat minggu terakhir Ramadan setiap tahun dan mula diraikan di sebahagian besar negara Islam sejak awal 1980-an lalu.
Ia diadakan sebagai tanda solidariti umat Islam memperingati detik ‘hitam’ Palestin mula dijajah oleh pendatang haram Zionis dan menawan kota suci Al-Quds.