Pejabat Imigresen Tenom dipecah masuk, pengawal keselamatan diikat

Iklan
Gambar hiasan

TENOM - Seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas cedera selepas diserang dan diikat dalam kejadian di Pejabat Imigresen Tenom di sini pada awal pagi Khamis.

Dalam kejadian antara jam 1 hingga 2 pagi itu, mangsa lelaki berusia 30-an dipercayai diserang menggunakan objek tajam oleh dua suspek yang bertindak memecah masuk pejabat berkenaan.

Iklan
Iklan

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yusof berkata, laporan polis berhubung kejadian itu dibuat pada jam 12.41 tengah hari.

"Pengawal keselamatan bertugas memaklumkan diserang dua suspek dan cedera di bahagian tapak tangan serta diikat sebelum suspek terbabit masuk melalui pintu belakang dengan memotong jeriji besi pejabat.

Iklan

"Suspek meninggalkan pejabat dengan memanjat pagar belakang dan menaiki kereta jenis sedan yang menunggu di belakang pekarangan pejabat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya lagi, pihak forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu tiba di lokasi sekitar jam 10.30 pagi untuk membuat pemeriksaan lanjut.

Iklan

Sharifah Sitti Saleha dalam pada itu memohon kerjasama daripada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu agar melaporkan ke pejabat polis berdekatan.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa juga hebahan di mana-mana platform bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siasatan PDRM serta menggugat ketenteraman awam," katanya.