[VIDEO] Kezaliman Israel isu sejagat

Iklan
Abbas (baju biru) menyampaikan ucapannya semasa Himpunan Solidariti Al-Quds Sedunia di ibu negara pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kezaliman yang dilakukan Israel ke atas Palestin adalah isu sejagat.

Pengarah Mobilisasi Pemuda Amanah, Abbas Azmi berkata, hak rakyat Palestin perlu dikembalikan.

Iklan
Iklan

"Isu Palestin bukan setakat isu umat Islam dan bukan sekadar isu kezaliman Israel tapi isu sejagat di dunia hari ini.

"Amerika Syarikat berlagak menjadi 'abang besar' dan penyelamat. Tapi lihatlah apa yang berlaku di Palestin, Iraq dan beberapa negara Islam lain.

Iklan

"Jangan kita lupa kekejaman berlaku di Iran, Syria dan banyak lagi berkecamuk hasil kerja Amerika. Inilah permainan keji dia (Amerika) di belakang zionis Israel," katanya ketika menyampaikan ucapan semasa Himpunan Solidariti Al-Quds Sedunia di sini pada Jumaat.

Antara plakad yang dibawa oleh peserta himpunan solidariti di ibu negara pada Jumaat.

Tambah Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional itu, Amerika Syarikat bukan lagi kuasa dunia.

Iklan

Katanya, sedikit masa lagi negara itu (Amerika Syarikat) akan menjadi hamba kepada orang Islam di Palestin.

"Kita yakin janji ALLAH itu benar.

"Diingatkan usah iktiraf negara haram Israel. Kembalikan hak Palestin. Teruskan tekad kita, usah putus asa. Yakinlah," ujarnya.

Sementara itu, aktivis, Hishamuddin Md Rais menyeru masyarakat menunjukkan sokongan dan solidariti.

"Kita mesti bersedia menyusun barisan jika wujudnya hubungan Malaysia dengan Israel," katanya.

Pada Jumaat, dianggarkan lebih 100 individu berhimpun di hadapan Masjid Tabung Haji, Kuala Lumpur pada jam 2 petang sebelum mula berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat.

'Orang Islam tidak akan tunduk'

Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, orang Islam tidak akan duduk diam dan bersatu mengenai isu itu.

Kenyataan itu dilempar Mohd Azmi selepas beliau bersama Pengerusi Persekutuan Masjid Sedunia Pertahankan Masjid Aqsa, Datuk Seri Ahmad Awang dan Pengerusi Sekretariat Ulama, Datuk Wira Abdul Ghani Shamsuddin menyerah memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat.

Menurutnya, dalam memorandum itu ditekankan mengenai peranan Amerika Syarikat (AS) mendukung Israel.

"Sebab itu kita hantar kepada AS, sebab dialah yang menjadi penyebab Israel berani melakukan kezaliman ke atas Palestin.

"Senjata itu semua wang diberi AS, kamu adalah negara hipokrit 'double standard' tetapi bercakap tentang demokrasi hak orang lain," katanya ketika ditemui pemberita ketika Himpunan Solidariti Hari Al-Quds Sedunia berhampiran Kedutaan AS, di sini pada Jumaat.

Tambahnya, memorandum tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan anggota kabinet apakah pendirian mengenai isu Palestin.

"Kita mahu Israel diheret ke Mahkamah Antarabangsa. Malaysia perlu memimpin gerakan menentang Zionis," ujarnya.

Pada Jumaat, dianggarkan lebih 100 individu berhimpun di hadapan Masjid Tabung Haji, Kuala Lumpur pada jam 2 petang sebelum mula berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat.

Mereka ini terdiri daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) seperti Mapim, Angkatan Belia Islam Malaysia, Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Jaringan Persaudaraan Masjid Malaysia, Teras Pengupayaan Melayu, Ikatan Muhibbah Indian Muslim dan lain-lain.

Perarakan ini juga ekoran tindakan biadab tentera pendudukan haram Israel menceroboh Masjidil Aqsa dan menyerang rakyat Palestin pada 5 April lalu.

Hari Al-Quds Sedunia berlangsung pada Jumaat minggu terakhir Ramadan setiap tahun dan mula diraikan di sebahagian besar negara Islam sejak awal 1980-an lalu.

Ia diadakan sebagai tanda solidariti umat Islam memperingati detik ‘hitam’ Palestin mula dijajah oleh pendatang haram Zionis dan menawan kota suci Al-Quds.