ALOR GAJAH - Sambutan Aidilfitri buat sebuah keluarga di sini bakal disambut hiba apabila kehilangan dua orang tersayang yang maut dalam kemalangan di Jalan Lendu di sini, pada Jumaat.
Mangsa, Muhammad Hasraf Amin Hasrin, 23, yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik maut bersama bapa saudaranya, Mohd Firdaus Yusof, 38, selepas kereta jenis Perodua Myvi dinaiki mereka hilang kawalan dan merempuh sebatang pokok kira-kira jam 12 tengah malam.
Menurut adik mangsa, Muhammad Aliff Iman Hasrin, 15, pemergian dua insan yang rapat serentak lebih-lebih lagi hari raya semakin hampir memberi tamparan hebat buatnya sekeluarga lebih-lebih dia turut kehilangan abang sulung pada Ogos lalu akibat serangan jantung.
Katanya, daripada empat beradik kini, hanya tinggal dua beradik termasuk seorang abang yang bekerja sebagai pemandu bas dan menetap di Telok Mas.
"Raya kali ini tak bermakna bagi kami, hilang dua insan dan sebelum itu pemergian abang sulung yang belum sampai setahun.
"Apa pun kena reda dengan ketentuan cuma tiada sambutan berbanding sebelum ini," katanya.
Muhammad Aliff Iman turut menyifatkan arwah abangnya seorang yang ceria malah sempat memberikan ibunya wang untuk membelikan pakaian raya untuknya.
"Arwah seperti biasa, namun sikapnya sejak kebelakangan ini lebih pemurah dan suka belanja makan.
"Malah dia sempat bagi wang pada mak untuk belikan baju raya saya," katanya lagi.
Sementara itu, Rohaya Yusof, 47, yang juga kakak kepada Allahyarham Mohd Firdaus berkata, pemergian adiknya itu meninggalkan dua anak yang masih bersekolah iaitu Muhammad Haikal Firdaus, 14, dan Muhammad Hazim Fridaus, 11.
Menurutnya, sebelum kejadian mereka sempat berbuka bersama di kedai makan mereka sekeluarga dan Mohd Firdaus mengajaknya untuk ke bazar namun ditolaknya.
Katanya, sejak beberapa hari sebelum kejadian, hubungan kedua-dua mangsa begitu rapat malah anak saudara dan bapa saudara itu dilihat sering ke mana-mana bersama termasuk ke kedai runcit berhampiran.
Menurutnya, adiknya yang berstatus duda itu telah empat kali pergi ke bazar Masjid Tanah untuk membeli baju raya, namun pelik setiap kali ke bazar dia masih belum membeli baju yang berkenan.
"Saya pun tak tahu kenapa dia berat hati nak beli baju raya, sedangkan dah empat kali ke bazar termasuk ketika kejadian malam tadi juga mereka dalam perjalanan ke bazar.
"Mungkin sudah ajal mereka berdua pergi di bulan Ramadan dan kami sekeluarga reda dengan ujian menimpa kehilangan dua ahli keluarga serentak," katanya.
Jenazah kedua-dua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelemak dalam satu liang lahad.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan hajat seorang pekerja kilang untuk membawa bapa saudaranya membeli persiapan raya tidak tercapai apabila mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Lendu Masjid Tanah, di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 12 tengah malam, mangsa, Muhammad Hasraf Amin Hasrin, 23, dan bapa saudaranya, Mohd Firdaus Yusof, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi penumpang bahagian belakang, Azizul Hamis@Jainy mengalami cedera parah.