Bicara kes saman Zahid terhadap Muhyiddin bermula 16 Oktober ini

Iklan
Dari kiri: Zahid, Muhyiddin

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 10 hari bermula 16 Oktober ini untuk mendengar kes saman difailkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid berkata, Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris menetapkan 16 hingga 20 Oktober dan 23 hingga 27 Oktober untuk perbicaraan kes itu.

Iklan
Iklan

Prosiding turut disertai peguam Shu Ivy yang mewakili Muhyiddin.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Ahmad Zahid, 70, berkata, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di pekarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Februari lepas.

Iklan

Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan dan mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor.

Sementara itu, Muhyiddin, 75, dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 9 Mei tahun lepas mendakwa kenyataan beliau bahawa Ahmad Zahid memintanya untuk campur tangan dalam kes jenayah di mahkamah adalah benar dan bukan memfitnah.

Iklan

Presiden Bersatu itu mendakwa kenyataan dibuat semasa kempen PRN Johor itu merupakan komen adil serta berkepentingan awam. - Bernama