Tebing sungai makin terhakis

Iklan
Azizi menunjukkan tanah yang rebak berhampiran sangkar ikan di tebing Sungai Perak di Kampung Tok Paduka Raja, Pulau Tiga, Kampung Gajah di sini.

PASIR SALAK - Keadaan tebing sungai yang semakin terhakis di Kampung Tok Paduka Raja, Pulau Tiga, Kampung Gajah di sini akibat arus sungai membimbangkan pengusaha ikan sangkar di kawasan tersebut kerana membahayakan penduduk dan menjejaskan perusahaan mereka.

Wakil penduduk, Azizi Amin, 39, berkata, hakisan berkenaan sudah beberapa kali berlaku namun dalam masa beberapa minggu lalu semakin teruk apabila menghampiri jalan utama penduduk.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa berhati-hati dan pengusaha ikan juga bimbang jika jalan tidak boleh dilalui oleh kenderaan berat untuk menghantar keperluan ternakan mereka.

"Kami pengusaha ikan juga akan terjejas dari segi logistik sebab lori yang hantar makanan ikan melalui jalan ini. Kalau hakisan berterusan kita bimbang jalan akan rosak dan terputus," katanya kepada Sinar Harian ketika meninjau hakisan tersebut pada Rabu.

Iklan

Azizi berkata, terdapat seramai kira-kira 25 orang belia yang terlibat dalam mengusahakan ikan sangkar di kawasan tersebut.

Keadaan tanah yang rebak berhampiran jalan ke kawasan kediaman penduduk Kampung Tok Paduka Raja, Pulau Tiga, Kampung Gajah di sini

Sementara itu, dia menjelaskan masalah berkenaan sudah diketahui oleh ketua kampung dan penghulu untuk tindakan selanjutnya oleh pihak-pihak berkaitan.

Iklan

Katanya, penyelesaian segera perlu dilakukan bagi mengelak runtuhan tebing lebih serius yang boleh memberi risiko kepada pengguna jalan berkenaan kerana ia terlalu hampir dengan Sungai Perak.

Jelasnya, selain itu juga, jalan yang sedia ada perlu dilebarkan lagi memandangkan kawasan tersebut menjadi tumpuan pelancong sekaligus membantu menambah ekonomi penduduk setempat.